Lelaki M’sia terlepas jadi penghuni penjara

Lelaki M’sia terlepas jadi penghuni penjara

Oleh Rafidah Jumat

 

pg06_mahkamah-logo2BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Nov – Seorang lelaki warga Malaysia terlepas daripada menjalani hukuman penjara 10 bulan selepas membayar denda $10,000 yang dijatuhi Mahkamah Majistret, hari ini, atas kesalahan cuba mengeksport barang tegahan.

Ling Chuan Siew, 54, mengaku bersalah atas pertuduhan cuba membawa keluar 97 liter minyak diesel tanpa lesen daripada pengawal kastam.

Dia melakukan kesalahan itu di kawasan luar Pos Kawalan Kuala Lurah pada 8 November 2016 kira-kira jam 4:10 petang.

Defendan yang memandu kereta pacuan empat roda ditahan oleh pegawai pemeriksa kastam yang menyoalnya mengenai borang pelepasan dari Brunei.

Defendan kemudian memberitahu, yang dia ingin mengisytiharkan minyak masak namun pemeriksaan mendapati botol-botol minyak masak itu mengandungi minyak diesel.

Defendan mengaku cuba untuk mengeksport minyak diesel itu keluar ke Limbang.

Majistret Kanan Azrimah binti Haji Abdul Rahman memerintahkan kesemua barang tegahan itu dirampas.

ARTIKEL YANG SAMA