Lelaki Oman diuji positif MERS

Lelaki Oman diuji positif MERS

BANGKOK, 24 Jan – Pegawai kesihatan Thailand berusaha menjejaki berpuluh orang yang mungkin berhubungan dengan seorang lelaki tua warga Oman yang diuji positif menghidapi Sindrom Pernafasan Timur Tengah (MERS), kata Kementerian Kesihatan hari ini.

Lelaki berusia 71 tahun itu tiba di Thailand pada Jumaat dengan demam yang tidak dapat dirawat oleh doktor di Oman, kata kenyataan kementerian.

“Dia diuji positif dijangkiti virus MERS,” dan dikuarantin di sebuah hospital di Bangkok, kata kenyataan, menambah “Dia letih tetapi sedar.”

Namun pihak berkuasa sedang mencari lebih daripada 250 orang yang mungkin telah berhubungan dengan lelaki berkenaan.

Daripada jumlah tersebut, 37 menghadapi ‘risiko tinggi’ dijangkiti virus itu, kata kementerian, tanpa memberikan butir lanjut.

Ia adalah kes virus kedua di sebuah negara yang dikunjungi oleh berjuta-juta orang setiap tahun dan merupakan pusat pelancongan perubatan.

Kes pertama juga membabitkan seorang lelaki tua warga Oman, yang dimasukkan ke hospital pada Jun tahun lalu tetapi dibenarkan keluar beberapa minggu kemudian selepas dia dirawat dan disahkan bebas daripada virus itu.

Virus MERS pertama muncul pada tahun 2012 di Arab Saudi.

Korea Selatan terjejas teruk oleh satu wabak pada 2015 yang membunuh 36 orang dan mencetuskan panik di ekonomi keempat terbesar Asia.

Virus tersebut dianggap lebih teruk tetapi kurang berjangkit berbanding dengan Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS), yang membunuh beratus orang apabila ia muncul di Asia pada 2003. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA