Lelaki pecah masuk 2 kereta, kena penjara

Lelaki pecah masuk 2 kereta, kena penjara

Oleh Rafidah Jumat

 

pg06_160512_mahkamah logo2BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Mei – Mahkamah Majistret, hari ini, menjatuhi setahun dan enam bulan penjara terhadap seorang lelaki warga tempatan yang mengaku bersalah kerana memecah masuk kereta dan memandu secara cuai.

Ketua Majistret, Muhammad Faisal bin PDJLD DSP Haji Kefli turut menjatuhkan denda $3,000 terhadap Muhammad Rejab bin Haji Rambli, 26, yang berdepan dakwaan memecah masuk dua buah kereta dalam dua kejadian berasingan, pada 12 April dan 24 April 2016.

Fakta kes menyebut, tertuduh pada 12 April telah memecah masuk sebuah kereta Kia Coupe dan mencuri beberapa bahagian kereta, pen drive USB dan amplifier gitar.

Dia mengaku menukar amplifier gitar itu dengan dadah dan menjual tayar ganti kereta pada harga $20.

Pada 24 April, tertuduh sekali lagi memecah masuk sebuah kereta Daihatsu Sirion namun perbuatannya dilihat oleh seorang pemilik kereta yang turut meletakkan keretanya di kawasan yang sama.

Dia kemudian merakam wajah tertuduh dan membuat laporan kepada polis.

Dua hari kemudian, tertuduh ditahan oleh anggota polis yang membuat rondaan namun berjaya melepaskan diri.

Tertuduh memecut keretanya melepasi lampu isyarat merah dan memotong beberapa buah kenderaan ketika hendak menuju ke Jalan Chancellor, Universiti Brunei Darussalam.

Ketika di Jalan Chancellor, tertuduh menghentikan keretanya di kawasan bukit dan terus berlari ke hutan berdekatan. Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Dayangku Hazirah binti Pengiran Yusof.

ARTIKEL YANG SAMA