Lelaki pedofilia kena 10 tahun

Lelaki pedofilia kena 10 tahun

PHNOM PENH, 14 Jun – Kemboja hari ini menjatuhi hukuman penjara sedekad ke atas seorang lelaki Amerika kerana menganiaya secara seksual budak perempuan berusia lima tahun, dalam usaha terbaru untuk menghukum pedofilia asing di negara itu.

Brian Naswall, CEO Aero Kemboja berusia 53 tahun, sebuah firma penerbangan kecil yang berpangkalan di Phnom Penh, ditahan pada tahun lalu, dilaporkan menganiaya tiga budak perempuan di bawah umur.

Sejak dia ditahan, seramai sembilan mangsa telah menuduh Naswall menganiaya mereka.

Naswall menafikan dakwaan tersebut ketika perbicaraan dan mendakwa kes diadakan-adakan.

Namun mahkamah perbandaran Phnom Penh hari ini mendapati lelaki warga Amerika itu bersalah kerana terbabit dalam pelacuran kanak-kanak dan menjatuhi hukuman penjara 10 tahun ke atasnya.

Brian Naswall (kanan), berjalan keluar dari van penjara ketika anggota polis Kemboja mengawal sejurus kedatangannya di mahkamah perbandaran Phnom Penh pada 14 Jun. – AFP
Brian Naswall (kanan), berjalan keluar dari van penjara ketika anggota polis Kemboja mengawal sejurus kedatangannya di mahkamah perbandaran Phnom Penh pada 14 Jun. – AFP

Mahkamah juga mengarah Naswall membayar bayaran pampasan berjumlah AS$16,000, yang akan dibahagikan di antara lapan mangsa.

Pengarah Action Pour Les Enfants (APLE), sebuah pertubuhan NGO yang memburu pedofilia asing di Kemboja, meminta Naswall dihantar pulang setelah dia menjalani hukumannya.

“Kami memuji keputusan tersebut. Ia adalah munasabah dan boleh diterima,” kata pengarah APLE Seila Samleang.

Seorang anggota kumpulan perundangan Naswall memberitahu wartawan bahawa anak guamannya akan merayu keputusan itu.