Lelaki peluk bunga api, cetus kebakaran besar

Lelaki peluk bunga api, cetus kebakaran besar

MANILA, 1 Jan (AFP) – Peluru sesat dan bunga api yang meletup telah membunuh dua orang dan mencederakan beratus-ratus orang di Filipina, menurut pihak berkuasa hari ini, di tengah perayaan Tahun Baru yang mana negara itu lazimnya menyambut penuh riuh-rendah.

Seorang lelaki mabuk terbunuh selepas dia memeluk bunga api besar, dipanggil ‘Goodbye Philippines’ ketika ia hendak meletup, setiausaha kesihatan Janet Garin memberitahu para pemberita.

“Rahangnya hancur berkecai. Dia dalam keadaan yang begitu mabuk apabila dia memeluk Goodbye Philippines,” kata Garin dengan menambah kata lelak itu disahkan mati di hospital.

Lapan puluh peratus dari 100 juta orang penduduk di negara itu beragama Katolik tetapi kepercayaan karut orang Filipina mengatakan membuat bising yang membingitkan sebelum Tahun Baru adalah untuk menghindar nasib tidak baik.

Mereka yang berpesta membakar bunga api dan melepaskan tembakan ke udara untuk meraikan musim perayaan Disember.

Seorang penduduk tempatan cuba untuk memadam kebakaran besar yang meranapkan pondok di kawasan miskin di Manila pada 1 Januari. Hampir 300 buah rumah dijlat api dalam kebakaran awal Tahun Baru. – AFP
Seorang penduduk tempatan cuba untuk memadam kebakaran besar yang meranapkan pondok di kawasan miskin di Manila pada 1 Januari. Hampir 300 buah rumah dijlat api dalam kebakaran awal Tahun Baru. – AFP

Jabatan kesihatan menyenaraikan sebanyak 380 kecederaan disebabkan bunga api dan empat yang lain disebabkan terkena peluru sesat.

Di kebanyakan hospital di seluruh negara, mangsa-mangsa bunga api dikejarkan ke bilik kecemasan yang dalam keadaan kesakitan, ketika mereka memegang anggota mereka yang berlumuran darah.

Tiga jari seorang budak lelaki berusia lapan tahun di wilayah perladangan utara, Nueva Vizcaya terpaksa dipotong selepas bunga api meletup di tangannya, kata Garin lagi.

Kira-kira sembilan orang kanak-kanak juga terpaksa menjalani pemotongan jari mereka disebabkan kecederaan akibat bunga api,” katanya.

Di kawasan melarat di Manila, bunga api yang dinyalakan telah menjadi punca kebakaran, yang cepat merebak, menurut jurucakap biro bomba Renato Marcial memberitahu AFP.

Kebakaran telah memusnahkan pagar kayu dan pondok yang dibuat dari kadbod pada awal-awal waktu hari ini, mengakibatkan 3,000 orang hilang tempat tinggal, menurut pegawai bencana bandar Johnny Yu memberitahu AFP.

Para penduduk yang panik dan cuba menyelamatkan diri dari rumah mereka yang terbakar sempat membawa pakaian dan perabot, sementara beberapa orang lelaki yang mabuk pada malam itu, turut tergesa-gesa memadamkan kebakaran, menurut jurugambar AFP di tempat kejadian.

Seorang wanita berusia 65 tahun juga meninggal dunia akibat serangan jantung ketika dia melihat rumahnya hangus dijilat api, kata Yu.