Lelaki syaki bunuh ahli perniagaan M’sia ditahan

Lelaki syaki bunuh ahli perniagaan M’sia ditahan

SONGKHLA, 7 Julai – Sepasukan anggota polis khas Songkhla menahan seorang bekas anggota tentera Thai dipercayai bertanggungjawab menembak mati ahli perniagaan Malaysia di Hatyai 4 Disember tahun lalu.

Ketua Polis Pencegahan Khas Songkhla, Kol Sompong Suwannawong, berkata bekas anggota tentera itu, Nop Insrikaew, 47, atau ‘Nop’ ditahan di daerah Pumpin, wilayah Surat Thani petang semalam.

“Pada peringkat awal siasatan, Nop telah mengaku terhadap tuduhan membunuh, bersekongkol untuk membunuh dan memiliki senjata serta peluru tanpa kebenaran,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya, sebelum dibuang tugas sebagai anggota tentera dan melarikan diri ke wilayah Surat Thani, suspek pernah bertugas di tiga wilayah selatan Thai.

Dalam kejadian pada 4 Disember tahun lalu, ahli perniagaan Malaysia itu Lee Ah Han, 54, ditembak mati ketika sedang memandu sebuah kereta mewah di jalan berhampiran Kampung Pruk, Hatyai menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Hatyai.

Polis Thailand menahan seorang bekas anggota tentera negara itu dikenali sebagai ‘Nop’ atau Nop Insri-kaew, 47, yang dipercayai terlibat dalam kes pembunuhan ahli perniagaan Malaysia di Hatyai pada 4 Disembar tahun lepas. - Bernama
Polis Thailand menahan seorang bekas anggota tentera negara itu dikenali sebagai ‘Nop’ atau Nop Insri-kaew, 47, yang dipercayai terlibat dalam kes pembunuhan ahli perniagaan Malaysia di Hatyai pada 4 Disembar tahun lepas. – Bernama

Kereta mewah dipandu Lee atau dikenali sebagai ‘Ali Baba’ ditembak menggunakan senjata M-16, yang turut menyebabkan isterinya, Mayuree Thipmani cedera parah.

Lee adalah seorang ahli perniagaan yang terkenal di sempadan Malaysia-Thailand khasnya di Danok, Sadao yang turut menjadi orang tengah dalam urusan jual-beli tanah di Danok membabitkan ahli perniagaan Malaysia.

Ketua Polis Mukim Thung-lung, Kolonel Polis Vichapan Chantraporn, dilaporkan berkata sebelum ini, maklumat perisikan polis mendapati mangsa mempunyai masalah hutang sebanyak 35 juta Baht yang dibayar menggunakan cek tendang.

Susulan daripada kejadian itu, pihak polis Thai telah mengeluarkan waran tangkap terhadap tujuh orang termasuk dua yang disyaki mengupah suspek serta seorang lagi ahli perniagaan Malaysia yang tidak didedahkan identitinya. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA