Lelaki tak mengaku salah cederakan isteri dan anak

Lelaki tak mengaku salah cederakan isteri dan anak

Oleh Rafidah Jumat

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Jan – Seorang lelaki tempatan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, hari ini, atas pertuduhan menyebabkan kecederaan terhadap isteri dan anaknya.

Haji Erwan bin Haji Mansor, 39, berdepan dakwaan menyebabkan kecederaan ke atas isterinya yang berusia 39 tahun, dengan menampar kepala dan mukanya empat kali, menendang mukanya ketika dia berbaring dan menampar mukanya dua kali menggunakan selipar.

Untuk pertuduhan kedua, dia didakwa menyebabkan kecederaan ke atas anak lelakinya berusia 16 tahun, dengan mencekik lehernya dan menolaknya ke pintu gelongsor rumah mereka.

Haji Erwan didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di Kampung Bukit Bunga, Jerudong pada 27 Januari 2016 kira-kira jam 10 malam. Dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Hukuman Jenayah, Penggal 22 yang membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun dan juga denda.

pg06_160129_mahkamah logo

Timbalan Pendakwa Raya, Sharon Yeo memohon mahkamah untuk menetapkan tarikh perbicaraan, dan akan memanggil lima hingga enam orang saksi pendakwaan untuk memberikan keterangan terhadap tertuduh. Tertuduh bagaimanapun tidak mempunyai saksi untuk membela dirinya sebaliknya memberitahu mahkamah bahawa dia dipukul oleh mangsa.

Tertuduh turut bertanyakan kepada mahkamah sama ada dia boleh melihat anaknya yang lain memandangkan dia tidak dibenarkan untuk berhubung dengan kedua-dua mangsa namun Majistret Pengiran Shahyzul Khairuddien bin Pengiran Haji Abd Rahman menasihatinya untuk tidak berhubung dengan keluarganya buat sementara waktu. Majistret Pengiran Shahyzul menetapkan pertengahan Mei untuk sebutan tarikh perbicaraan, dan membenarkan tertuduh dilepaskan dengan ikat jamin $3,000 atau dua orang penjamin tempatan.

ARTIKEL YANG SAMA