Lelaki tempatan berdepan tuduhan ugut

Lelaki tempatan berdepan tuduhan ugut

Oleh Rafidah Jumat

 

pg06_160329_mahkamah logo2BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Mac – Seorang lelaki tempatan yang berdepan pertuduhan mengugut dan melakukan ugutan jenayah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, hari ini.

Asnan bin Haji Laki, 41, didakwa mengugut dua orang anggota polis dengan pisau untuk tujuan menghalang kedua-dua anggota polis itu daripada menjalankan tugas mereka.

Dia turut berdepan dakwaan melakukan ugutan terhadap isterinya, Ezzatul Faritta binti Mohd Salleh dengan mengatakan: “kau, bapamu, mamamu iblis syaitan, wajib ku bunuh daripada ku sembahyang” sambil mengayunkan pisau ke arahnya.

Untuk kedua-dua kesalahan, dia didakwa di bawah Seksyen 189 Kanun Hukuman Jenayah, Penggal 22 yang memperuntukkan pemenjaraan bagi tempoh yang boleh dilanjutkan sehingga lima tahun dan juga denda, dan di bawah Seksyen 506 Kanun Hukuman Jenayah, Penggal 22 yang membawa pemenjaraan bagi tempoh sehingga tiga tahun, atau dengan denda atau kedua-duanya.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada 14 Mac 2016 di sebuah rumah di Kampung Lambak Kanan.

Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Danial bin DSP Haji Kifrawi akan memanggil 10 orang saksi untuk memberikan keterangan manakala tertuduh akan memanggil seorang saksi sebagai pembelaannya.

Majistret Hajah Ervy Sufitriana binti Haji Abdul Rahman menetapkan 11 April untuk kes disebut semula.

ARTIKEL YANG SAMA