Lelaki tempatan curi, jual barang didenda $500

Lelaki tempatan curi, jual barang didenda $500

Oleh Rafidah Jumat

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Jun – Mahkamah Majistret, hari ini, telah menjatuhi hukuman denda $500 ke atas seorang lelaki tempatan selepas mengaku bersalah bagi pertuduhan mencuri.

Zulvindarkarnain @Zulkarnain bin Abdul Rajit Han, 34, didakwa mencuri empat buah roda logam Kobota, satu pengadun simen dan sebuah mesin pembajak (power tiller), antara jam 10 pagi dan 4 petang pada 5 Jun 2015 di Kampung Sungai Lalit, Lumut.

Ketua Majistret, Muhammad Faisal bin PDJLD DSP Haji Kefli memberi tempoh dua bulan kepada tertuduh untuk membayar denda itu, dan jika gagal, berdepan dua bulan penjara.

Fakta kes menyebut, tertuduh menjual roda logam dan pengadun simen itu dengan harga $97 di kedai besi buruk di Kampung Danau, Tutong manakala mesin pembajak pula dibawanya ke rumah saudaranya di Lumut.

Tertuduh bagaimanapun menyerah diri pada 6 Jun, dan polis hanya menemui semula dua roda logam, pengadun simen dan mesin pembajak.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Dayangku Hazirah binti Pengiran Mohd Yusof.

ARTIKEL YANG SAMA