Lelaki tempatan didakwa buat panggilan bom palsu

Lelaki tempatan didakwa buat panggilan bom palsu

Oleh Rafidah Jumat

 

pg06_160714_mahkamah logo2BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Julai – Seorang lelaki tempatan didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, kerana membuat panggilan ancaman bom palsu.

Awangku Ariffin bin Pengiran Haji Mohammed, 39, berdepan pertuduhan membuat panggilan ke talian kecemasan 993 dan mendakwa ada bom di kawasan Pasar Raya Hua Ho, Bangunan Halimatul Saadiah di Gadong pada 11 Julai 2016 kira-kira jam 11 pagi.

Dia didakwa mengikut Seksyen 45(a) Perintah Telekomunikasi 2001 yang memperuntukkan denda tidak melebihi $50,000 dan pemenjaraan untuk tempoh tidak melebihi tujuh tahun atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Aiman Adri bin Ahmad Zakaria memohon mahkamah untuk tertuduh ditahan reman bagi siasatan dan juga untuk memeriksa keadaan mental tertuduh.

Gambar fail bertarikh 11 Julai 2016 menunjukkan suasana semasa kejadian yang berlaku di kawasan komersial Gadong.
Gambar fail bertarikh 11 Julai 2016 menunjukkan suasana semasa kejadian yang berlaku di kawasan komersial Gadong.

Majistret Kanan Lailatul Zubaidah binti Haji Mohd Hussain memerintahkan tertuduh untuk ditahan reman di Balai Polis Pusat, dan menetapkan 20 Julai untuk sebutan semula.

Kejadian pada hari pertama kakitangan awam kembali bekerja selepas hampir seminggu bercuti raya itu telah menyebabkan kepanikan dalam kalangan orang awam dan pengunjung di sebuah bangunan komersial di Gadong, malah kawasan sekitarnya apabila mendengar ada ancaman bom.

Namun setelah pemeriksaan dibuat, Pasukan Polis Diraja Brunei mengesahkan tiada sebarang benda mencurigakan dijumpai.

Sebelum itu, pihak polis telah menerima panggilan telefon melalui talian 993 mengenai kejadian di sebuah bangunan dan setelah siasatan dijalankan, seorang lelaki yang dipercayai boleh membantu siasatan telah ditahan.

Dengan tindakan tegas dan cepat pihak polis, keadaan berjaya dikawal dan hampir keseluruhan jalan memasuki kawasan komersial Gadong telah ditutup bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku.

ARTIKEL YANG SAMA