Lelaki tempatan didakwa cabul kehormatan

Lelaki tempatan didakwa cabul kehormatan

Oleh Rafidah Jumat

 

pg06_161014_mahkamah-logo2BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Okt – Seorang lelaki tempatan dihadapkan ke Mahkamah Majistret, hari ini, atas pertuduhan mencabul kehormatan seorang wanita berusia 30 tahun.

Dini bin Masir, 30, didakwa menggunakan kekerasan dalam melakukan ‘perbuatan tidak senonoh’ terhadap mangsa di perhentian bas, kawasan Jalan Perdana Menteri pada 10 Oktober 2016 sekitar jam 5:45 petang.

Timbalan Pendakwa Raya, Sharon Yeo mengemukakan pertuduhan di bawah Seksyen 354 Kanun Hukuman Jenayah, Penggal 22 yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun dan juga sebatan.

Timbalan Pendakwa Raya memohon untuk tertuduh ditahan reman di Balai Polis Pusat sehingga Sabtu ini untuk polis menjalankan pengecaman jari dan pengenalan.

Tertuduh memohon kepada mahkamah agar dibolehkan berjumpa dengan mangsa kerana ingin memohon maaf namun tidak dibenarkan oleh Majistret Hajah Ervy Sufitriana binti Haji Abdul Rahman kerana pihak pendakwaan telah membuat permohonan untuk tertuduh ditahan reman.

“Saya ingin berjumpa keluarga saya,” kata tertuduh namun mendapat bantahan daripada Timbalan Pendakwa Raya yang memaklumkan mahkamah bahawa siasatan ke atas tertuduh masih dijalankan dan tertuduh hanya boleh berjumpa keluarganya sebaik siasatan selesai dijalankan.

Majistret menetapkan 15 Oktober untuk sebutan semula.

ARTIKEL YANG SAMA