Lelaki tempatan didakwa rosak kereta ahli keluarga

Lelaki tempatan didakwa rosak kereta ahli keluarga

Oleh Rafidah Jumat

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Feb – Seorang lelaki tempatan dihadapkan ke Mahkamah Majistret, hari ini, atas pertuduhan melakukan kerosakan pada kereta milik ahli keluarganya.

Mohammad Saiful Zaky bin Haji Simpol didakwa melakukan kerosakan pada cermin depan dan belakang, tingkap dan juga badan kereta Mazda CX7 pada 10 Februari 2016 kira-kira jam 7 pagi di Jalan Pasai 2.

Dia didakwa di bawah Seksyen 426 Kanun Hukuman Jenayah, Penggal 22 yang membawa hukuman penjara yang boleh dilanjutkan sehingga dua tahun atau denda, atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohammad Danial bin DSP Haji Kifrawi memaklumkan mahkamah bahawa pihak polis memerlukan lebih masa untuk menjalankan siasatan termasuk mendapatkan keterangan daripada tertuduh.

pg06_160212_mahkamah logo

Ketua Majistret, Muhammad Faisal bin PDJLD DSP Haji Kefli menetapkan 13 Februari bagi sebutan semula, dan membenarkan tertuduh diikat jamin $2,500 atau seorang penjamin tempatan.

Timbalan Pendakwa Raya turut mengenakan syarat ikat jamin kepada tertuduh iaitu dia perlu melaporkan diri ke Balai Polis Sengkurong pada 12 Februari, tidak berhubung secara langsung dan tidak langsung dengan pemilik kereta atau saksi pendakwaan dan tidak ditangkap bagi kesalahan lain ketika dalam ikat jamin.