Lelaki tempatan didenda $4,000

Lelaki tempatan didenda $4,000

Oleh Rafidah Jumat

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Okt – Memiliki rokok yang tidak dikenakan cukai mengundang padah kepada seorang lelaki tempatan apabila dijatuhi denda $4,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, hari ini.

Pemangku Majistret Kanan, Dayang Azrimah binti Haji Abdul Rahman memerintahkan Aziz bin Awang Amit, 36, yang berdepan dakwaan memiliki 13 karton rokok pada 28 Januari 2015 untuk membayar denda $200 setiap bulan sehingga habis atau berdepan empat bulan penjara.

pg06_151006_mahkamah logo2

Fakta kes menyebut, defendan pada tarikh tersebut sekitar jam 7:30 malam memandu keretanya dari Limbang melalui Pos Kawalan Kuala Lurah, dan ketika melewati pos kawalan kastam, dia memberitahu tidak ada barang yang hendak diisytiharkan.

Namun pemeriksaan menyeluruh menemui karton rokok disembunyikan di beberapa bahagian keretanya.

Defendan mengaku membeli rokok-rokok itu di Limbang pada harga $91 di mana pegawai pendakwa kastam memohon kepada mahkamah supaya kesemua rokok yang telah dirampas itu diserahkan kepada kerajaan.

ARTIKEL YANG SAMA