Lelaki tempatan didenda import udang putih

Lelaki tempatan didenda import udang putih

Oleh Rafidah Jumat

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Sept – Seorang lelaki tempatan dijatuhi denda $800 oleh Mahkamah Majistret, hari ini, kerana mengimport udang putih tanpa lesen yang sah ke negara ini, pada 2012. Pengiran Martudin bin Pengiran Samsuddin, 41, mengaku bersalah atas dakwaan mengimport 329.35 kilogram udang putih melalui Sungai Batu Marang, pada 13 Januari 2012.

Dia didakwa oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nor’Adliatul Hidayah binti Haji Mohd Zaidi di bawah Seksyen 40 Perintah Perikanan, 2009 yang memperuntukkan denda tidak melebihi $10,000, penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya.

Tertuduh mengimport spesies udang itu dari perairan Sarawak, Kuala Sundar untuk dijual di Pasar Gadong dan restoran. Udang itu adalah jenis spesies Litopenaeus Vannamei, yang dikenali sebagai udang putih dari Pasifik, dan dilarang pengimportannya oleh Jabatan Perikanan yang telah mengeluarkan larangan itu sejak tahun 2009.

Tindakan tertuduh mengimport udang putih itu diketahui oleh polis marin yang membuat rondaan di Batu Marang apabila ternampak tertuduh bersama rakannya memunggah plastik-plastik hitam di jeti Batu Marang.

Tertuduh yang sedang menjalani hukuman penjara selama lapan tahun atas kesalahan mencuri diperintahkan oleh Majistret Dewi Norlelawati binti Haji Abdul Hamid untuk membayar denda itu selepas selesai menjalani hukumannya, dan jika gagal akan berdepan tambahan tiga minggu penjara.

ARTIKEL YANG SAMA