Lelaki tempatan maut dalam kejadian perkelahian

Lelaki tempatan maut dalam kejadian perkelahian

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Jan – Seorang lelaki tempatan berumur sekitar 40an maut, setelah dipercayai dipukul oleh beberapa orang lelaki tidak dikenali dalam satu perkelahian di kawasan Jalan Kuala Lurah tengah malam tadi.

Kejadian yang berlaku sekitar pukul 12 tengah malam itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan dan dikejarkan ke Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS), di ibu negara. Mangsa disahkan meninggal dunia di hospital.

Menurut ahli keluarga mangsa ketika ditemu bual Media Permata, kejadian berlaku ketika mangsa bersama empat orang temannya baru saja balik dari Limbang dan sebaik sahaja memasuki kawasan sempadan Brunei, keempat-empat teman mangsa memberitahu mangsa untuk berhenti dan menurunkan mereka kerana hendak ke tandas.

Katanya, teman mangsa yang berada di tempat kejadian memberitahu bahawa sebaik saja keluar dari tandas, mereka dapati kereta mangsa telah pun rosak teruk dan mangsa dipukul oleh beberapa orang lelaki yang tidak dikenali.

Mangsa sempat melarikan diri ke pos kawalan untuk meminta pertolongan, kata ahli keluarga mangsa yang tidak mahu dikenali.

Mangsa disahkan meninggal dunia di Hospital RIPAS dan jenazahnya telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Katok.

Mangsa seorang kakitangan di syarikat swasta meninggalkan seorang isteri dan tiga orang anak.

Sementara itu, Pasukan Polis Diraja Brunei dalam satu kenyataan berkata, mereka telah menerima laporan mengenai kes perkelahian yang berlaku di kawasan Jalan Kuala Lurah dan masih menjalankan siasatan berhubung kes tersebut. Sehubungan itu pihak polis menasihatkan orang ramai supaya tidak menimbulkan sebarang spekulasi atau hasutan yang boleh memudaratkan orang lain dan sebagainya.

Orang ramai mempunyai sebarang maklumat mengenai kes ini diminta menghubungi balai-balai polis yang berdekatan atau talian kecemasan 993.

“Segala maklumat yang diberikan/ dikongsikan kepada pihak polis akan dijaga kerahsiaannya. Pemberi maklumat juga tidak akan didedahkan,” menurut kenyataan itu lagi.

ARTIKEL YANG SAMA