Lelaki tempatan maut nahas di Tungku Link

Lelaki tempatan maut nahas di Tungku Link

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Nov – Seorang lelaki tempatan berusia 22 tahun maut apabila kereta yang dipandunya bertembung sebuah lori dalam kejadian ngeri yang berlaku di Lebuh Raya Tungku Link menghala Bandar Seri Begawan, kira-kira pukul 5 petang kelmarin.

Pasukan Polis Diraja Brunei dalam laporannya hari ini menyatakan bahawa mangsa disahkan meninggal dunia pada sekitar pukul 6:45 petang manakala itu, dua penumpang lain, seorang lelaki tempatan berumur 52 tahun dan seorang perempuan juga warga tempatan berumur 49 tahun tidak mengalami kecederaan serius.

Sementara itu, pemandu lori berkenaan yang merupakan warga asing berumur 32 tahun, terselamat dalam kejadian tersebut dan hanya mengalami cedera pada kaki kanannya.

Menurut saksi di tempat kejadian, mangsa dalam perjalanan di Lebuh Raya Tungku Link apabila tiba-tiba bertembung sebuah lori sehingga mengakibatkan kereta mangsa hancur remuk keseluruhannya.

Lori berkenaan juga hilang kawalan setelah bertembung kereta berkenaan dan terbabas ke dalam semak beberapa meter dari tempat kejadian.

Pasukan Polis Diraja Brunei telah menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada pukul 5:26 petang. Anggota bomba dan penyelamat juga telah dikerahkan ke tempat kejadian untuk menyelamatkan mangsa.

Walau bagaimanapun, punca kemalangan masih lagi dalam siasatan pihak Pasukan Polis Diraja Brunei.

Kejadian itu juga telah menyebabkan tujuh batang tiang pagar tercabut dan tiga keping pagar besi rosak.

ARTIKEL YANG SAMA