Lelaki tempatan mengaku cabul remaja 15 tahun

Lelaki tempatan mengaku cabul remaja 15 tahun

Oleh Rafidah Jumat

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Jun – Mahkamah Perantaraan menetapkan 4 Jun untuk sebutan hukuman ke atas seorang lelaki tempatan yang mengaku bersalah mencabul kehormatan seorang perempuan berusia 15 tahun.

Hakim Ramzidah binti Pehin Datu Kesuma Diraja Kol (B) Haji Abdul Rahman dalam sebutan hari ini, menerima pengakuan bersalah Johari bin Haji Zaini, 42, yang didakwa mengikut Seksyen 354A(1) Kanun Hukuman Jenayah, Penggal 22 yang memperuntukkan pemenjaraan untuk tempoh tidak kurang dari dua tahun dan tidak melebihi tujuh tahun, dan juga sebatan.

Fakta kes yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Shamshuddin bin Kamaluddin menyebut, tertuduh yang tidak bekerja itu mempunyai tujuh orang anak dan sudah pun bercerai dengan isterinya pada tahun lalu.

Mangsa juga merupakan rakan kepada anak perempuan tertuduh di mana mereka tinggal di kawasan yang sama di kawasan Kampung Panchor Mengkubau.

Pada 16 April 2016 sekitar jam 5:30 pagi, tertuduh pergi ke rumah mangsa untuk membangunkannya kerana mangsa pada malam sebelumnya telah meminta tertuduh untuk menghantarnya ke sekolah.

Mangsa kemudian bersiap sedia dan menaiki kereta tertuduh, namun tertuduh memandu keretanya balik ke rumahnya dengan alasan untuk mengambil anak-anaknya untuk dihantar ke sekolah.

Tertuduh kemudian menyuruh mangsa menunggu di salah sebuah bilik di tingkat atas dan memberi alasan bahawa anak-anaknya akan mengambil masa untuk bersiap.

Mangsa memasuki satu bilik yang disangkanya bilik rakannya, dan bertanya kepada tertuduh di mana rakannya itu dan tertuduh hanya menjawab ‘sedang bersiap’.

Johari kemudian duduk bersebelahan mangsa di atas katil dan memulakan perbualan sebelum mencabul kehormatan mangsa.

Mangsa cuba melepaskan diri daripada tertuduh namun gagal.

Perbuatan tertuduh itu terhenti apabila dia terdengar seseorang terjaga daripada tidur di tingkat bawah.

Tertuduh memberi amaran kepada mangsa untuk tidak memberitahu sesiapa namun mangsa telah melaporkannya kepada rakan dan guru sekolah yang kemudian bertindak membuat laporan polis.

Tertuduh diberkas di kediamannya pada hari yang sama.

Timbalan Pendakwa Raya dalam hujahannya berkata, tertuduh telah mencabul kehormatan mangsa yang hanya berusia 15 tahun sekali gus menyalahgunakan kepercayaan yang diberikan kepadanya oleh mangsa yang ingin meminta bantuannya untuk menghantarnya ke sekolah.

Timbalan Pendakwa Raya juga percaya mangsa mengalami trauma selepas kejadian itu apatah lagi tertuduh merupakan bapa kepada rakannya dan tertuduh juga adalah rakan kepada ayahnya.

Sementara itu, tertuduh dalam rayuannya memohon untuk dijatuhi hukuman paling ringan kerana tidak mahu berjauhan dengan anak-anaknya.

 

ARTIKEL YANG SAMA