Lelaki tempatan mengaku curi set kunci

Lelaki tempatan mengaku curi set kunci

Oleh Rafidah Jumat

 

pg10_161012_mahkamah-logo2BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Okt – Seorang lelaki tempatan mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, hari ini, atas pertuduhan mencuri satu set kunci milik seorang jurujual kedai.

Hasmyzan Hamzi bin Haji Hashimi, 30, didakwa mencuri satu kunci kereta, tiga kunci rumah dan satu kunci bilik tidur dari kedai BL Tone & Tune Music, pada 9 Oktober 2016 sekitar jam 11 pagi. Pertuduhan dibuat Timbalan Pendakwa Raya, Vuina Song di bawah seksyen 380 Kanun Hukuman Jenayah, Penggal 22 yang memperuntukkan penjara sehingga tujuh tahun dan juga denda.

“Saya tidak berfikir panjang ketika itu, saya tidak diberikan pil Erimin 5 dan saya tidak sedar apa yang saya lakukan,” jawab tertuduh ketika ditanya oleh Majistret Hajah Ervy Sufitriana binti Haji Abdul Rahman mengenai kenapa dia melakukan kesalahan itu.

Tertuduh dalam rayuannya memohon untuk dikenakan hukuman paling ringan dan denda, serta turut mengharapkan pemilik kunci dapat menggugurkan dakwaan ke atasnya.

Fakta kes menyebut, tertuduh mencuri kunci tersebut yang diletakkan di atas kaunter pameran dan menyimpannya ke dalam poket.

Jurujual itu hanya menyedari kuncinya hilang apabila hendak pulang ke rumah ketika waktu rehat. Apabila gagal menemukan kuncinya, jurujual kemudian memeriksa sistem televisyen litar tertutup yang mendedahkan tertuduh telah berada di tempat itu.

Laporan polis dibuat yang membawa tangkapan kepada tertuduh pada keesokan harinya. Dalam rekod, tertuduh mempunyai kesalahan lampau yang turut melibatkan penyalahgunaan dadah.

Majistret menetapkan 12 Oktober untuk sebutan hukuman.

ARTIKEL YANG SAMA