Lelaki tempatan miliki rokok didenda $55,600

Lelaki tempatan miliki rokok didenda $55,600

Oleh Rafidah Jumat

 

pg06_151103_mahkamah logo2BANDAR SERI EBGAWAN, 2 Nov – Akibat tidak membayar cukai untuk rokok yang sudah dibawanya masuk ke Brunei Darussalam, seorang lelaki tempatan berusia 24 tahun dijatuhi denda $55,600 oleh Mahkamah Majistret, hari ini.

Mohd Hairul Hasrul bin Haji Hassan didakwa memiliki 141 karton dan dua paket rokok pelbagai jenama di rumah sewanya di Kampung Setia ‘B’ ketika pemeriksaan dilakukan oleh pegawai dari Unit Jenayah Polis yang bertindak sebaik menerima maklumat daripada orang ramai.

Majistret Dewi Norlelawati binti Haji Abdul Hamid membenarkan defendan untuk membayar secara ansuran, dan memerintahkannya untuk membayar $2,700 setiap bulan, bermula hujung November ini sehingga Julai 2017.

Gagal membuat pembayaran akan menyebabkan defendan meringkuk di penjara selama 12 bulan.

Fakta kes menyebut, rokok-rokok itu ditemui dalam sebuah bilik di rumah tersebut dan juga dalam beg hitam Adidas di mana defendan didapati gagal untuk membayar cukai sebanyak $6,940 untuk rokok-rokok yang dimilikinya itu.

Defendan mengaku membeli rokok-rokok itu di Limbang untuk dirinya dan juga untuk tujuan dijual.

Majistret turut mengarahkan untuk kesemua rokok dalam senarai rampasan kastam itu diserahkan kepada kerajaan.