Lelaki Thai dipenjara hina raja

Lelaki Thai dipenjara hina raja

BANGKOK, 7 Ogos (AFP) – Seorang lelaki Thai hari ini dipenjarakan selama 30 tahun kerana “menghina” raja berperlembagaan di Facebook, dalam salah satu hukuman paling keras yang dijatuhkan di bawah undang-undang negara yang ketat.

Raja Thai Bhumibol Adulyadej, 87, dilindungi oleh salah satu peraturan fitnah diraja paling ketat di dunia di mana sesiapa yang disabit bersalah menghina raja, permaisuri, waris atau pemangku raja menghadapi hukuman penjara 15 tahun atas setiap tuduhan.

Pada hari ini, Mahkamah Tentera Bangkok mendapati Pongsak Sriboonpeng, 48, bersalah kerana menyiar mesej dan gambar yang memfitnah raja berperlembagaan dalam enam artikel di laman web rangkaian sosial.

Beliau dijatuhi hukuman penjara 10 tahun atas setiap tuduhan dengan hukuman penjara 60 tahun dikurangkan separuh selepas dia mengaku bersalah, beritahu peguamnya Sasinan Thamnithinan kepada AFP.

“Ia memecah rekod,” kata beliau mengenai hukuman penjara yang berat itu, menambah disebabkan Pongsak ditahan ketika Thailand masih di bawah undang-undang pemerintahan tentera, tidak adanya hak untuk merayu hukuman yang diluluskan oleh mahkamah tentera.

Sabitan penghinaan raja telah meningkat sejak jeneral Thailand merampas kuasa daripada kerajaan dipilih pada Mei 2014.