Lelaki Thailand dijangkiti Zika

Lelaki Thailand dijangkiti Zika

BANGKOK, 3 Feb – Seorang lelaki dijangkiti virus Zika di Thailand, kata pihak berkuasa hari, ketika kebimbangan global terhadap jangkitan bawaan nyamuk yang dikatakan punca peningkatan kecacatan kelahiran serius di Amerika Selatan, meningkat.

Pihak berkuasa berkata, lelaki tempatan berusia 22 tahun itu kemungkinan dijangkiti jenis virus sama yang mencetuskan panik di negara seperti Brazil dan Colombia.

Timbalan Marsyal Udara yang juga Pengarah Hospital Adulyadej Bhumibol di sini, Santi Srisermpoke, mengesahkan kepada media bahawa virus itu “disahkan menerusi ujian darah.” “Gejala yang dikesan adalah demam, ruam dan mata merah,” katanya sambil menambah lelaki itu tidak berkunjung ke luar negara. Beliau berkata, pesakit itu juga sudah pulih dan dibenarkan keluar hospital, tanpa memberi butiran lanjut berapa lama dia dirawat di hospital atau bila dijangkiti virus terbabit.

Ketua Pengarah Jabatan Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan Awam, Amnuay Gajeena, berkata ada kemungkinan virus itu adalah jenis sama ditemui di Amerika Selatan.

“Ia bukan satu penyakit baharu di Thailand. Kami sudah mendapat kes pertama disahkan pada tahun 2012. Sejak itu kami mencatat purata tidak lebih lima kes setahun.

Seorang pekerja kesihatan perbandaran menunjukkan sampel uji larva virus Zika, nyamuk Aedes aegypti. – Reuters
Seorang pekerja kesihatan perbandaran menunjukkan sampel uji larva virus Zika, nyamuk Aedes aegypti. – Reuters

“Tidak perlu untuk panik. Kami tidak pernah mendapat epidemik virus Zika di Thailand oleh kerana semua kes tidak berulang,” katanya.

Nyamuk Aedes aegypti yang menyebabkan jangkitan denggi, membawa virus Zika dan dikaitkan dengan mikrosefali iaitu keadaan yang mana bayi dilahirkan dengan otak jauh lebih kecil. Ia membiak di kawasan tropika termasuk Thailand yang menyaksikan peningkatan kes denggi sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

Kali pertama dikesan di Afrika pada tahun 1947, Zika dianggap penyakit ringan sehingga wabak terkini diisytiharkan di Amerika Latin tahun lalu. – AFP