Lelaki ugut bunuh Duta AS ke Seoul, ditangkap

Lelaki ugut bunuh Duta AS ke Seoul, ditangkap

SEOUL, 24 Julai – Polis Korea Selatan berkata hari ini mereka telah menahan seorang lelaki berusia 33 tahun kerana mengugut akan membunuh Duta AS ke Seoul, Mark Lippert, yang menjadi mangsa serangan pisau pada Mac.

Seorang pegawai kanan di Agensi Polis Metropolitan Seoul berkata lelaki itu, dikenal pasti dengan nama keluarga Lee, telah memasukkan ancaman dalam satu artikel yang ditulis di laman web Rumah Putih.

Polis tidak memberikan butir-butir mengenai isi kandungan artikel “tidak jelas itu,” yang ditulis dalam bahasa Inggeris.

Lelaki itu ditahan pada 14 Julai selepas menerima maklumat daripada Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Seoul.

Di komputer riba yang dirampas, rekod kemasukan ke laman Rumah Putih ditemui, serta draf artikel dan penawanan skrin, kata polis.

Lee, yang digambarkan oleh polis sebagai penganggur, hidup dalam keadaan terpencil dan menghabiskan kebanyakan masanya melayari Internet, menafikan menulis artikel berkenaan.

Seorang lelaki lain, Kim Ki-Jong, 56, telah didakwa cuba membunuh dalam serangan pada Mac ke atas Duta Lippert pada satu majlis sarapan di Seoul yang meninggalkan duta itu dengan 80 jahitan di pipinya.

Kim memberitahu penyiasat duta adalah sasaran “simbolik” tentangannya terhadap latihan tentera AS-Korea Selatan, yang dipersalahkannya kerana menyekat dialog dengan Korea Utara. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA