Lelongan amal berjaya kutip $13,325

Lelongan amal berjaya kutip $13,325

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Mei – Dana hasil daripada Lelongan Amal ‘Hope & Grow’ yang dianjurkan bersama oleh Majalah biG (Borneo Insiders Guide) dan eBunda dari BAG Networks iaitu sebanyak $13,325 telah diserahkan kepada wanita dan ahli keluarga terutamanya ibu-ibu tunggal yang memerlukan bantuan kewangan.

Sehubungan itu, majlis penyerahan dana kepada wakil-wakil dari Society for Community Outreach & Training (SCOT) dan Pusat Annur Harapan telah disempurnakan oleh Penerbit Majalah biG, Wan Zainal Abidin Shazali dan Ketua Pegawai Eksekutif BAG Networks, Dayang Haslina binti Haji Mohd Taib.

Masing-masing menerima sumbangan sebanyak $6,617.50 pada majlis yang diadakan di premis BAG Networks di Anggerek Desa, baru-baru ini.

Dana yang telah dikumpulkan menerusi siri lelongan dengan tema ‘crowd funding fashionably’ itu diterima daripada beberapa persatuan dan individu-individu perseorangan.

Bermula dari majlis minum petang dan lelongan serba eksklusif yang dihadiri 100 jemputan ternama, inisiatif ini seterusnya meraih derma dari acara-acara lelongan senyap di premis BAG Networks dan juga lelongan dalam talian yang direka oleh BAG Networks melalui laman web eBunda yang baru sahaja dikemas kini, www.ebunda.com.bn.

Penyerahan dana hasil kutipan lelongan amal diserahkan kepada wakil-wakil dua persatuan.
Penyerahan dana hasil kutipan lelongan amal diserahkan kepada wakil-wakil dua persatuan.

Jurucakap eBunda, Dayang Zulaikha binti Mat Zini dalam kenyataan yang diterima, berkata, “Kami berbesar hati bahawa lebih 100 bahan derma, dari busana anggun dan aksesori mewah hinggalah kelengkapan dan perkhidmatan untuk seisi keluarga, telah habis dilelong. Ini tentunya tidak mungkin tanpa kemurahan hati para penawar, penderma dan penyokong kami.”

“Bagi pihak eBunda, kami amatlah bersyukur untuk bekerjasama dengan Majalah biG, agar berpeluang menghulurkan sedikit sebanyak bantuan ikhlas kepada para wanita dan keluarga yang memerlukan pertolongan,” ujarnya lagi.

ARTIKEL YANG SAMA