Lemas dalam lombong selepas curi lori

Lemas dalam lombong selepas curi lori

KUALA LUMPUR, 7 Ogos (Bernama) – Seorang lelaki yang melarikan diri daripada polis mati lemas di dalam bekas lombong selepas dia dan rakannya mencuri sebuah lori di Bukit Beruntung dekat sini pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Supt R. Supramaniam berkata mangsa yang berumur 37 tahun telah terjun ke dalam lombong berkenaan sementara rakannya yang berumur 49 tahun tidak berbuat demikian.

Beliau berkata pihak polis menerima aduan pada kira-kira pukul 5.30 pagi bahawa kedua-duanya telah mencuri sebuah lori di sebuah pasar borong di Selangor.

“Mujur sistem pengesanan global (GPS) yang dipasang dalam lori tersebut berjaya membantu kami mengesan suspek. Kedua-duanya dikesan bersama lori berkenaan di tepi jalan.

“Namun mereka melarikan diri dan seorang daripadanya bertindak terjun ke dalam lombong berhampiran dan hilang,” katanya.

Supramaniam berkata pihak bomba dan penyelamat kemudiannya menemukan mayat mangsa di dalam lombong itu dan dibawa keluar pada pukul 8 pagi.

Beliau berkata seorang lagi suspek kemudiannya berjaya ditahan.

Suspek yang lemas mempunyai enam rekod jenayah sebelum ini manakala rakannya mempunyai tiga rekod jenayah, katanya.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Kubu Baharu.