Lembaga Bandaran giatkan pemeriksaan restoran, kedai makan

Lembaga Bandaran giatkan pemeriksaan restoran, kedai makan

Oleh Anwar Rosly

 

KUALA BELAIT, 19 Mei – Lembaga Bandaran Kuala Belait dan Seria (LBKBS), hari ini, meneruskan lagi pemeriksaan penggredan kebersihan ke atas restoran-restoran dan kedai makan di kawasan Pekan Belait dan Seria sebagai sebahagian daripada usaha memantau dan memastikan kebersihan di premis-premis penyediaan makanan dijaga dengan baik.

Pemeriksaan berkenaan melibatkan kakitangan Jabatan Alam Sekitar dan Taman Rekreasi Cawangan Kuala Belait, Pejabat Kesihatan Daerah Belait, Jabatan Bandaran Kuala Belait dan Seria serta dari pertubuhan bukan kerajaan.

Sebanyak 78 restoran dan premis makanan di bawah bidang kuasa LBKBS menjalani pemeriksaan kebersihan berkenaan, yang mana 36 daripadanya diperiksa dalam fasa pertama yang sedang berjalan dan selebihnya dalam fasa kedua yang dijangka bermula awal Jun depan.

Selepas pemeriksaan kebersihan berkenaan, mana-mana restoran yang lulus akan diberi Sijil Penggredan Kebersihan manakala yang tidak menepati tahap peraturan kebersihan daripada LBKBS akan dikenakan tindakan.

Seorang pegawai dari LBKBS memeriksa keadaan makanan yang disimpan di dalam peti sejuk sebuah restoran di Kuala Belait.
Seorang pegawai dari LBKBS memeriksa keadaan makanan yang disimpan di dalam peti sejuk sebuah restoran di Kuala Belait.

Dalam pada itu, awal bulan ini, taklimat bagi para pemilik restoran dan kedai-kedai makan telah diadakan di ibu pejabat LBKS yang dipengerusikan oleh Pengerusi LBKBS, Haji Ali bin Matyassin.

Taklimat antara lain menyentuh mengenai cara-cara yang boleh dilakukan oleh para pemilik untuk menjaga kebersihan premis, dan ia juga diadakan agar para pemilik restoran serta kedai-kedai makan memahami kepentingan menjaga kebersihan.

ARTIKEL YANG SAMA