Lembaga pengarah 1MBD tawar letak jawatan

Lembaga pengarah 1MBD tawar letak jawatan

KUALA LUMPUR, 7 April (Bernama) – Lembaga pengarah 1Malaysia Development Bhd (1MDB) secara kolektif telah memutuskan untuk menawarkan perletakan jawatannya kepada Menteri Kewangan Diperbadankan, berikutan hasil Laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

Lembaga pengarah itu berkata ia telah berjaya membawa 1MDB melalui suatu tempoh unik yang mencabar dan percaya bahawa Laporan PAC boleh menjadi titik pengakhiran dakwaan-dakwaan palsu ke atas syarikat.

“Bagaimanapun, berdasarkan hasil Laporan PAC tersebut, lembaga pengarah secara kolektif pagi ini telah memutuskan untuk menawarkan perletakan jawatannya kepada Menteri Kewangan Diperbadankan, yang merupakan 100 peratus pemegang saham 1MDB.

“Ini merupakan satu keputusan yang sukar untuk diambil tetapi kami percaya bahawa ini adalah langkah yang betul dalam situasi ini, bagi memudahkan sebarang siasatan susulan seperti yang dicadangkan oleh PAC,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, laman web 1MDB menyenaraikan enam anggota lembaga pengarahnya iaitu Pengerusi Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin, Presiden dan Pengarah Eksekutif Arul Kanda, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, serta Tan Sri Ismee Ismail, Tan Sri Ong Gim Huat dan Ashvin J Valiram.

Menurut kenyataan itu, lembaga pengarah melihat Laporan PAC ini sebagai sebuah dokumen yang menyeluruh dan muktamad, yang telah menyatakan fakta-fakta dengan jelas dan telah menyangkal pelbagai dakwaan berkenaan syarikat.

Lebih penting lagi, dana syarikat 1MDB telah diambil kira sepenuhnya dan tidak ada kes “RM42 bilion hilang”, seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab.

Juga telah disahkan, 1MDB tidak memindahkan RM2.6 bilion kepada akaun peribadi Perdana Menteri seperti yang telah didakwa.

Lembaga pengarah percaya bahawa ia telah menjalankan peranan dan tanggungjawabnya sebaik yang mungkin, termasuk pelaksanaan pelbagai langkah tadbir urus korporat seperti mewujudkan prosedur operasi standard untuk syarikat dan menubuhkan jawatankuasa audit dan pengurusan risiko lembaga pengarah.

ARTIKEL YANG SAMA