Lencongan sementara dibuka

Lencongan sementara dibuka

pg02_160307_a

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Mac – Jabatan Kerja Raya (JKR), Kementerian Pembangunan memaklumkan orang ramai bahawa satu lencongan sementara akan dibuka di persimpangan Jalan Raja Isteri Pengiran Anak Saleha/Jalan Pengiran Babu Raja dan akan melibatkan perjalanan lalu lintas dari dua arah iaitu dari kawasan Bandar Seri Begawan menuju ke Tutong dan sebaliknya.

Lencongan ini adalah untuk memberi laluan bagi melaksanakan kerja-kerja membuka semula ‘temporary bridge trusses’.

Kerja-kerja tersebut akan dilaksanakan bermula esok (7 Mac 2016) dari jam 12 tengah malam hingga 5 pagi, selama 14 malam berturut-turut.

Menurut kenyataan JKR, untuk mengurangkan kesesakan dan gangguan kepada lalu lintas, pihak JKR akan memulakan penyusunan ‘water fill barriers’ bagi lencongan berkenaan bermula jam 11.30 malam pada hari-hari berkenaan.

Lencongan yang akan disediakan hanya mempunyai satu lorong satu hala dan dalam kesempatan ini, JKR dalam kenyataan turut mengingatkan orang ramai untuk memandu dengan lebih berhati-hati terutamanya apabila menggunakan jalan lencongan tersebut serta mematuhi papan-papan tanda arahan yang telah disediakan untuk mengelakkan perkara-perkara yang tidak diingini.

Manakala itu, pemandu kenderaan berat dengan ketinggian melebihi daripada 4.5 meter tinggi disarankan supaya menggunakan laluan alternatif untuk menuju ke destinasi mereka dan mengelakkan daripada melalui kawasan yang terlibat.

Sebarang aduan, orang ramai bolehlah menghubungi JKR melalui Talian Darussalam 123, Facebook Jabatan Kerja Raya, Brunei Darussalam dan e-mel pro@pwd.gov.bn

ARTIKEL YANG SAMA