Lengkap diri dengan teknologi terkini

Lengkap diri dengan teknologi terkini

Oleh Imelda Groves HA

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Dis – Persidangan Multi-GNSS (MGA) Asia ke-7 yang berlangsung selama tiga hari, bermula kelmarin, di Hotel Antarabangsa Rizqun, di sini, telah dibuka rasmi hari ini.

Hadir menyempurnakan perasmian selaku tetamu kehormat ialah Timbalan Menteri Pembangunan, Dato Paduka Haji Suhaimi bin Haji Gafar.

Dalam ucapannya pada majlis itu, beliau antara lain menekankan bahawa Kementerian Pembangunan telah menyelaras pelbagai projek pembinaan yang melibatkan profesional seperti juruukur yang berkelayakan, jurutera dan para profesional yang berkaitan di negara ini.

Dengan itu, kesemua profesional harus melengkapkan diri mereka dengan teknologi masa kini dan terbaru dalam usaha untuk mengurangkan masa bagi aktiviti-aktiviti pembinaan, yang menurutnya selaras dengan Wawasan Negara 2035.

Dato Paduka Haji Suhaimi melancarkan pembukaan Persidangan Multi-GNSS (MGA) Asia ke-7. - Gam-bar oleh Bahiyah Bakir
Dato Paduka Haji Suhaimi melancarkan pembukaan Persidangan Multi-GNSS (MGA) Asia ke-7. – Gam-bar oleh Bahiyah Bakir
Timbalan Menteri Pembangunan bersama delegasi yang menyertai persidangan tersebut.
Timbalan Menteri Pembangunan bersama delegasi yang menyertai persidangan tersebut.
Dato Paduka Haji Suhaimi ketika memberikan ucapan di majlis tersebut.
Dato Paduka Haji Suhaimi ketika memberikan ucapan di majlis tersebut.
Puan Yang Terutama Noriko Iki ketika menyampaikan ucapan.
Puan Yang Terutama Noriko Iki ketika menyampaikan ucapan.
Pengerusi Bersama Multi-GNSS Asia, Profesor Akio Yasuda ketika memberi ucapan.
Pengerusi Bersama Multi-GNSS Asia, Profesor Akio Yasuda ketika memberi ucapan.

Beliau seterusnya berkata, dalam usaha untuk mencapai wawasan negara, kedua-dua belah pihak samaada kerajaan dan swasta hendaklah bekerjasama melalui penswastaan dan rakan kongsi awam swasta.

Menurutnya, penggunaan teknologi baru seperti Sistem Penentududukan Sejagat (GPS) atau Sistem Navigasi Satelit Sejagat (GNSS) berguna dalam memantau gempa bumi, meramal cuaca, pengurusan bencana dan lain-lain yang dapat menyokong pembangunan sosioekonomi.

Sehubungan dengan itu, tegas beliau, adalah penting kesemua peringkat profesional untuk terus mengikuti perkembangan teknologi terbaru.

Menyentuh mengenai persidangan berkenaan, Dato Paduka Haji Suhaimi berkata, tahun ini merupakan yang terbesar dengan penyertaan seramai 200 orang peserta dan beliau melahirkan kepercayaan bahawa dengan gabungan agensi kerajaan seperti Jabatan Ukur dan syarikat tempatan seperti Soartech Systems Sdn Bhd, ia akan membawa satu ikatan kejayaan bagi semua pihak di rantau ini.

Persidangan itu dianjurkan oleh syarikat kejuruteraan tempatan Soartech Systems Sdn Bhd bersama dua buah organisasi Eropah GNSS Asia serta syarikat-syarikat Jepun dengan sokongan Jabatan Ukur, Jabatan Pelancongan Brunei, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan serta UNICG.

ARTIKEL YANG SAMA