Lepaskan De Gea segera

Lepaskan De Gea segera

LONDON, 13 Ogos – Penjaga gol legenda Manchester United, Peter Schmeichel percaya satu kesilapan sudah dilakukan mengenai pertikaian kontrak membabitkan David de Gea.

De Gea dikaitkan dengan perpindahan ke kelab gergasi Sepanyol, Real Madrid, namun United dilapor mahukan pemain pertahanan Sergio Ramos sebagai pertukaran dengan juara Eropah 10 kali itu.

Pertikaian itu menyaksikan De Gea sekadar menonton aksi dari bangku penonton ketika United memulakan musim mereka dengan kemenangan 1-0 ke atas Tottenham Hotspur, Sabtu lalu.

Pengurus United, Louis van Gaal memilih Sergio Romero berbanding De Gea dengan Schmeichel menyatakan masa depan pemain itu patut diselesaikan sebelum musim bermula lagi.

Nasib De Gea masih tidak menentu walaupun musim perpindahan bakal berakhir. – Reuters
Nasib De Gea masih tidak menentu walaupun musim perpindahan bakal berakhir. – Reuters

“Jika pemain itu tidak gembira, ejennya, dia dan kelab yang mahukannya patut menyelesaikan masalah ini lama dulu lagi,” jelas Schmeichel.

“Menyedihkan ia berlarutan hingga musim sudah bermula. Saya lebih suka De Gea kekal,” ujar Schmeichel yang menang lima takhta Liga Perdana Inggeris dalam tempoh lapan tahun di Old Trafford.

“Dua tahun berturut-turut dia pemain terbaik kelab ini. Anda tidak benarkan pemain sebegitu meninggalkan pasukan tapi jika dia mahu pergi, biarkan dia pergi dan Manchester United patut meneruskan hidup tanpanya.”

De Gea sudah diserapkan dalam skuad United bagi dua perlawanan play-off Liga Juara-Juara menentang Club Brugge.

Namun sekalipun dia tampil pada perlawanan itu pada 18 dan 26 Ogos ini, dia masih boleh mewakili kelab lain pada peringkat kumpulan pertandingan itu musim ini, menurut peraturan UEFA. – AFP