Les Bleus mara ke fasa 16 terakhir

Les Bleus mara ke fasa 16 terakhir

MARSEILLE, 16 Jun (AFP) – Antoine Griezmann meledak jaringan lewat permainan sebelum Dimitri Payet menambah gol kedua di masa kecederaan tatkala skuad tuan rumah Perancis mengesahkan tiket ke pusingan 16 terakhir Euro 2016 dengan mencatat kemenangan 2-0 ke atas Albania, sebentar tadi.

Perancis sebelum ini memulakan pemburuan gelaran pertama Kejohanan Eropah dalam tempoh 16 tahun dengan kemenangan sukar 2-1 ke atas Romania, Sabtu lalu.

Walaupun mempunyai beberapa peluang terhidang di babak kedua, ia memerlukan tandukan penyerang Atletico Madrid Griezmann untuk menyelamatkan maruah Perancis dengan gol pada minit ke-90 di Stade Veledrome.

Pengendali Didier Deschamps menggantikan tonggak yang beraksi di bawah tahap sebenar, Paul Pogba dengan Anthony Martial manakala Kingsley Coman mengambil tempat Griezmann dalam aksi pertama Perancis di Stade Veledrome sejak kejayaan kempen Piala Dunia 1998.

Ia bermakna terdapat perubahan formasi daripada 4-3-3 kepada 4-2-3-1, dengan penyerang Arsenal Olivier Giroud beraksi sebagai penyerang tunggal.

Griezmann meraikan jaringan pertama pasukan Perancis ketika menentang Albania di stadium Velodrome, kelmarin. – AFP
Griezmann meraikan jaringan pertama pasukan Perancis ketika menentang Albania di stadium Velodrome, kelmarin. – AFP

UEFA-Euro-2016-Logo

Tetapi selepas aksi hambar babak pertama dengan sekadar mencipta beberapa peluang, Deschamps segera mempertimbangkan semula keputusannya itu dengan membawa masuk Pogba dan Griezmann.

“Kami memerlukan kemenangan untuk layak dan ia akhirnya selesai,” kata Griezmann kepada stesen televisyen Perancis.

“Jurulatih sudah memberitahu saya bahawa saya mungkin dibawa masuk sebagai pemain gantian. Saya tahu dan saya mahu melakukan yang terbaik sekiranya dimasukkan.”

Payet sekali lagi memainkan peranan dalam memastikan kemenangan Perancis apabila meledak gol menerusi percubaan menarik pada minit keenam masa kecederaan untuk dinobatkan pemain terbaik perlawanan buat kali kedua berturut-turut.

Dia sebelum ini menjaringkan gol kemenangan ketika membantu Perancis menundukkan Romania 2-1 dalam aksi pembukaan Euro 2016.

ARTIKEL YANG SAMA