Les Blues tanpa Valbuena, Ben Arfa

Les Blues tanpa Valbuena, Ben Arfa

PARIS, 13 Mei (AFP) – Jurulatih Perancis, Didier Deschamps menamakan skuad 23 pemain untuk ke Euro 2016, dengan Mathieu Valbuena dan Hatem Ben Arfa tidak disenaraikan.

Kempen Valbuena dibayangi skandal menjadi mangsa peras ugut pita seks dan ia turut menyaksikan penyerang sensasi Real Madrid, Karim Benzema diketepikan untuk saingan paling berprestij Eropah.

Perancang tengah Lyon itu bergelut untuk menemui prestasi terbaik pada musim ini dan pasti mengejutkan apabila ditinggalkan oleh skuad tuan rumah untuk final Euro 2016.

“Mathieu mempunyai musim yang sukar dengan kecederaan dan persembahannya di bawah tahap sebenar ketika ini,” kata Deschamps, yang mengumumkan senarai pemain secara langsung di Station TF1.

Ben Arfa pula menaruh harapan untuk membuat kemunculan semula selepas berjaya memulihkan kariernya di Nice, namun sebaliknya hanya tersenarai dalam barisan lapan pemain menunggu.

Pertahanan Liverpool Mamadou Sakho turut ditinggalkan selepas digantung selama 30 hari oleh UEFA kerana gagal dalam ujian doping.

Dia didapati positif mengambil bahan terlarang pembakar lemak selepas aksi Liga Europa menentang Manchester United pada Mac lalu dan dikenakan hukuman penggantungan sementara sehingga akhir April.

Walaupun tanpa kehadiran Benzema, yang mencetak 27 gol sepanjang 81 penampilan, Perancis menampilkan trio serangan berbakat apabila menyenaraikan Olivier Giroud, Antoine Griezmann, Anthony Martial dan Dimitri Payet.

Perancis akan membuka kempen Euro 2016 menentang Romania pada 10 Jun nanti dan turut berdepan Albania dan Switzerland dalam saingan Kumpulan A.