Lesap RM3,00 dalam penipuan panggilan samaran

Oleh Arissa

 

LIMBANG, 11 Jan – Seorang wanita menjadi mangsa tipu panggilan samaran dan kehilangan RM3,000 dalam kejadian yang berlaku awal bulan ini.

Mangsa, 44, yang merupakan pekerja di sebuah institusi kewangan di daerah ini, dihubungi oleh seorang lelaki yang menyamar sebagai koperal polis dan diberitahu bahawa dia terlibat dalam kemalangan di Bukit Bintang, Kuala Lumpur pada 3 Januari lalu.

Menurut Ketua Polis Daerah Limbang, Superitenden Mohd Bukhori Saffai, pada hari yang sama juga mangsa dihubungkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Lumpur dan bercakap dengan seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai ‘Inspektor Koh’.

“Suspek memberitahu mangsa mempunyai 20 akaun bank dengan jumlah wang simpanan RM21.8 juta da meminta mangsa memindahkan wang berjumlah RM3,000 untuk mengelak daripada dipenjarakan dan diambil tindakan.

Mangsa yang bimbang, telah membuat pemindahan wang tersebut di mesin ATM bandar ini dan hanya menyedari dirinya tertipu selepas pemindahan tersebut lalu terus membuat laporan polis pagi semalam, menurut Mohd Bukhori.

Kes akan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.