Lesen 18 premis dibatalkan terlibat kegiatan judi

Lesen 18 premis dibatalkan terlibat kegiatan judi

SANDAKAN, 12 Mei (Bernama) – Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) akan membatalkan lesen 18 premis yang dikesan terlibat dalam aktiviti judi secara tidak sah.

Penolong Pegawai Unit Penguatkuasa MPS Sairin Abdul Rahman berkata pembabitan premis itu dikesan dalam operasi di Bandar Kim Fung, Bandar Nam Tung, Bandar Sibuga Jaya dan di sini bermula pukul 2 petang semalam.

Katanya sebanyak 42 premis dikenal pasti, namun ada pengusaha premis yang sempat menutup kedai mereka dan ada yang sempat membawa lari mesin peralatan pencetak nombor haram, apabila menyedari kehadiran anggota Unit Penguatkuasa MPS.

“Kami berjaya menyita 18 daripada 24 premis yang diperiksa dan merampas beberapa mesin serta telefon bimbit yang dipercayai digunakan dalam kegiatan itu,” katanya di sini, Khamis.

Sehubungan itu, Sairin berkata pihaknya akan mengambil tindakan tegas membatalkan lesen perniagaan premis berkenaan dan menyenaraihitamkan pemilik lesen perniagaan premis tersebut.

Beliau mengingatkan mana-mana premis yang menjalankan kegiatan perjudian secara tidak sah supaya menghentikannya serta-merta kerana serbuan akan dilakukan pada bila-bila masa secara berterusan.