Lesen berburu dibekukan berikutan kemarau

Lesen berburu dibekukan berikutan kemarau

KOTA KINABALU, 28 Mac (Bernama) – Jabatan Hidupan Liar Sabah mengambil keputusan membekukan sementara pengeluaran lesen berburu di seluruh negeri ini berikutan kemarau.

Pengarahnya, William Baya, berkata tindakan itu adalah sebagai langkah untuk mengelak kejadian kebakaran hutan pada musim panas yang berlarutan.

“Pembekuan ini adalah sebahagian daripada langkah bagi mengurangkan kejadian kebakaran hutan yang boleh mengancam dan memusnahkan hutan serta hidupan liar.

Kami akan menarik balik penggantungan sementara ini sebaik sahaja kemarau berakhir,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata kemungkinan berlaku kebakaran hutan meningkat dengan wujudnya aktiviti manusia di dalam hutan seperti berburu.