Lesen berjaja gerai perayaan mula dibuka

Lesen berjaja gerai perayaan mula dibuka

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Jun – Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan (BSB) memaklumkan bahawa permohonan bagi mendapatkan lessen berjaja Gerai Pasar Ria Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-70 Tahun di kawasan lapang letak kereta Jalan Bendahara berhadapan dengan Bangunan Alat-alat Kebesaran Diraja akan dibuka bermula esok (13 Jun) hingga 22 Jun 2016.

Permohonan ini dibukakan khusus kepada warga dan penduduk tetap Negara Brunei Darussalam yang bermastautin di Daerah Brunei dan Muara sahaja dan hendaklah berumur tidak kurang dari 18 tahun.

Jenis-jenis petak jualan yang disediakan termasuk gerai jualan runcit (Kategori A), gerai buah-buahan (Kategori B), gerai salaian (Kategori C), gerai jualan take-away (Kategori D) dan gerai makan dan minum.

Jabatan Bandaran BSB dalam kenyataannya, hari ini, turut memaklumkan bahawa setiap pemohon hanya dibenarkan bagi satu kategori sahaja.

Borang permohonan boleh didapati di Kaunter Tingkat 3, Bahagian Kewangan, Jabatan Bandaran BSB, Jalan Perdana Menteri, dan borang yang telah lengkap diisi hendaklah dimasukkan ke dalam peti undi berkunci mengikut kategori jenis gerai jualan yang dipohonkan tidak lewat pada jam 2 petang, 22 Jun 2016 di Tingkat 2, Unit Pengurusan Aset, Bangunan Jabatan Bandaran BSB.

Untuk sebarang pertanyaan, bolehlah menghubungi Unit Pengurusan Aset di talian 2232424 sambungan 131.