Lesen kenderaan format lama dihentikan

Lesen kenderaan format lama dihentikan

Oleh Pg Fairol RMF

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Dis – Bermula hari ini, permohonan membaharui lesen kenderaan (sebelum ini dikenali sebagai road tax) yang masih dalam bentuk format lama jenis bulat ke format baru iaitu jenis pelekat, hendaklah dibuat di Jabatan Pengangkutan Darat (JPD) atau cawangan-cawangannya sahaja.

Dengan ini, pembaharuan lesen kenderaan bentuk format lama adalah tidak lagi dibenarkan untuk dibaharui di cawangan-cawangan Jabatan Perkhidmatan Pos yang berkenaan, kata Timbalan Pengarah JPD, Kementerian Perhubungan, Pengiran Mohd Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud.

Bagaimanapun, orang ramai yang ingin membaharui lesen kenderaan yang sudah menggunakan format baru (pelekat) masih boleh dibuat di cawangan-cawangan Jabatan Perkhidmatan Pos yang terpilih iaitu di MPC (Mail Processing Centre), Tutong, Kuala Belait, Seria, Sengkurong, Bandar Seri Begawan dan Seri Kompleks, katanya pada sidang media yang berlangsung di bangunan JPD, Beribi hari ini.

Menurut Pengiran Mohd Amirrizal, langkah ini merupakan salah satu cara kawalan jabatan untuk mengelakkan sebarang urusan yang tidak diingini dan bagi mengelakkan sebarang kesulitan yang sering dihadapi oleh orang ramai semasa berurusan di mana-mana cawangan pos khususnya bagi pemohon yang membaharui lesen kenderaan format lama (bulat) kepada format baru (pelekat).

“Langkah ini juga dapat memastikan data maklumat pemohon adalah kemas kini serta boleh menjaga integriti data dalam Sistem Pengangkutan Darat (SPD) secara keseluruhannya,” ujarnya.

Pengiran Mohd Amirrizal menjelaskan permohonan membaharui lesen kenderaan yang masih dalam bentuk format lama jenis bulat ke format baru iaitu jenis pelekat.
Pengiran Mohd Amirrizal menjelaskan permohonan membaharui lesen kenderaan yang masih dalam bentuk format lama jenis bulat ke format baru iaitu jenis pelekat.

Sehubungan itu, JPD memohon kerjasama serta sokongan berterusan orang ramai dalam usahanya menyediakan perkhidmatan-perkhidmatan yang teratur dan secara terarah demi memudah cara urusan orang ramai dengan JPD dan Perkhidmatan-perkhidmatan pos.

Pengiran Mohd Amirrizal berkata, orang ramai yang menghadapi masalah penggunaan pelekat terbaru seperti masalah kehilangan maklumat yang tertera di pelekat berkenaan akibat cuaca panas, bolehlah berurusan di Kaunter 1, bangunan JPD dan ia akan dibaharui secara percuma.

Pada sidang media tersebut beliau turut mengongsikan statistik penggunaan transaksi membaharui lesen kenderaan dan lesen memandu secara online melalui portal ‘e-darussalam’.

Menurut statistik dari tahun 2013 hingga 2015, penggunaan transaksi e-darussalam meningkat iaitu daripada 255 bagi tahun 2013 kepada lebih 8,000 pengguna.

“Diharap lebih banyak yang akan menggunakan perkhidmatan online kerana ia lebih mudah dan boleh digunakan di rumah di samping itu bagi mengelakkan dari masalah beratur dan kehabisan nombor giliran,” ujar beliau.

ARTIKEL YANG SAMA