Lesen niaga dalam tiga jam

Lesen niaga dalam tiga jam

SINGAPURA, 8 Feb – Dalam usaha Indonesia menarik lebih banyak pelabur asing, ia melancarkan Khidmat Sehenti (OSS) yang memudahkan syarikat asing mendapat kelulusan secara prinsip daripada 22 agensi pemerintah di sana.

Bahkan, bagi syarikat yang ingin melabur sekurang-kurangnya AS$8 juta ($11.4 juta) atau/dan menggajikan sekurang-kurangnya 1,000 kakitangan, kelulusan boleh diperolehi dalam tempoh tiga jam.

Perkhidmatan terbaru bagi mendapatkan kelulusan dalam masa tiga jam itu diperkenalkan Timbalan Presiden Indonesia, Encik Yusuf Kalla, di pejabat Badan Koordinasi Penanaman Modal (BKPM) bulan lalu.

“Pemerintah Indonesia telah membaiki proses pelesenan melalui pelaksanaan OSS pada peringkat pusat dan serantau. OSS akan menyediakan kelulusan proses pelesenan lebih pantas, mudah dan telus di dalam talian,” ujar Ricky Kusmayadi, Pengarah Pusat Promosi Pelaburan (IIPC) di Singapura, ketika berucap dalam satu forum perniagaan anjuran Pusat Perniagaan Indonesia (IBC), baru-baru ini.

Langkah pertama mula melabur di Indonesia ialah dengan memohon mendapatkan lesen asas yang boleh dilakukan menerusi OSS yang boleh diperolehi di laman BKPM (www. bkpm.go.id).

Lesen asas BKPM merupakan kebenaran bagi pelabur asing membentuk entiti perniagaan yang sah di Indonesia. Ia merupakan langkah pertama bagi syarikat asing yang ingin menjalankan perniagaan di Indonesia.

Langkah kedua memerlukan pelabur asing mendapat lesen serantau daripada pemerintah daerah tempat projek itu akan dilaksanakan.

Yang terakhir apabila syarikat sudah bersedia memulakan perniagaan, syarikat boleh memohon mendapatkan lesen perniagaan daripada BKPM.

IIPC Singapura, sebagai wakil BKPM di negara ini, mempunyai pejabat di Suntec dan boleh membantu pelabur bermohon mendapatkan lesen asas melalui sistem dalam talian serta menyelaras misi pelaburan dari Singapura ke Indonesia, kata Ricky.

Bagi memudahkan syarikat lebih besar, BKPM memperuntukkan pegawai pelaburan yang terlatih bagi membantu syarikat asing menggunakan khidmat pelesenan pelaburan tiga jam.

Pelabur yang ingin melabur lebih 100 bilion rupiah atau AS$8 juta dan/atau menggajikan sekurang-kurangnya 1,000 kakitangan, boleh menunjukkan rancangan kegiatan pengilangan mereka kepada BKPM bagi mendapat kelulusan dalam tempoh tiga jam.

Forum ke-15 itu dianjurkan IBC bagi mengeratkan hubungan antara usahawan Singapura dengan Indonesia. Ia mempunyai 5,000 pangkalan nama meliputi usahawan dan karyawan badan niaga yang mempunyai kepentingan perniagaan di Indonesia. – BHS

ARTIKEL YANG SAMA