Lesen pekerja disalah guna

Lesen pekerja disalah guna

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Okt – Seorang lelaki warga asing telah didapati melakukan kesalahan Kebenaran Lesen Mengambil dan Menggaji Pekerja Asing dengan bekerja membuat penghantaran dan menjual sayur walaupun memegang pas kerja sebagai tukang kebun.

Kesalahan berkenaan didapati semasa Operasi Rempuh 164/2015 oleh Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang, Jabatan Buruh di Pasar Tani Setenaga, Sengkurong, kelmarin.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Buruh, bagi kesalahan itu, jabatan tersebut akan mengambil tindakan pembatalan/pengurangan kuota ke atas Kebenaran Lesen Mengambil dan Menggaji Pekerja Asing majikan dan pekerja berkenaan akan dibatalkan sokongan pas kerja dan dipulangkan ke negara asal.

Operasi yang bermula dari pukul 9:30 pagi dan melibatkan tiga orang pegawai bahagian penguatkuasaan berkenaan dijalankan berdasarkan maklumat daripada orang ramai serta susulan operasi yang pernah dijalankan sebelum ini.

Sehubungan dengan itu, Jabatan Buruh dalam kenyataannya, sekali lagi mengingatkan orang ramai dan majikan supaya tidak menyalahgunakan Lesen Mengambil dan Menggaji Pekerja Asing yang diberikan.

Seorang lelaki warga asing ketika ditahan oleh Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang, Jabatan Buruh.
Seorang lelaki warga asing ketika ditahan oleh Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang, Jabatan Buruh.

Kesalahan mengambil dan menggaji pekerja asing tanpa kebenaran Pesuruhjaya Buruh, boleh diambil tindakan di bawah Bab 112 (1) Perintah Pekerjaan 2009 dan jika sabit kesalahan boleh diambil tindakan undang-undang kesalahan di bawah Bab 112 (3) Perintah yang sama iaitu denda tidak kurang $6,000 dan tidak lebih $10,000 atau penjara tidak kurang enam bulan serta tidak lebih daripada tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Orang ramai bolehlah menghubungi Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang Jabatan Buruh di talian 2381848 jika mempunyai sebarang maklumat mengenai penyalahgunaan Lesen Mengambil dan Menggaji Pekerja Asing.

ARTIKEL YANG SAMA