Lestari syair melalui belia

Lestari syair melalui belia

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Nov – Syair merupakan puisi lama atau tradisi lisan yang mempunyai peranan sama ada untuk bercerita mengenai riwayat kehidupan seseorang atau sejarah sesebuah negeri, untuk memberi nasihat, peringatan atau sebagai penyuntik semangat kepada masyarakat.

“Jika dilihat secara tuntas, Penambangan Syair contohnya, bukanlah hanya dilihat sebagai hiburan halwa telinga semata-mata, tetapi ia sebenarnya untuk mengajak para pembaca dan pendengarnya untuk bersama-sama berfikir mengenai mesej tersurat dan tersirat yang cuba disampaikan oleh sesebuah syair tersebut dengan menganalisis dan mengaitkannya dari segala aspek kehidupan iaitu sama ada dari aspek pendidikan, agama, sosial, ekonomi dan pentadbiran.”

Perkara itu dinyatakan oleh Pemangku Pengarah Pendidikan Kokurikulum, Jabatan Pendidikan Kokurikulum, Awang Roslin bin Suhailee ketika berucap pada Pertandingan Menambang Syair Perlembagaan Negeri Brunei dan Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Mengarang dan Mentafsir Syair 2015-2016 yang berlangsung di Auditorium, Bangunan Baru Jabatan Penerangan, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang di dalam majlis berkenaan ialah Pemangku Penolong Pengarah Perkembangan Kurikulum, Haji Zulkifli bin Haji Mohd Yussof selaku wakil peribadi Pengarah Perkembangan Kurikulum.

Awang Roslin berkata lagi bahawa menyedari akan hakikat kepentingan syair dan perlunya usaha supaya kelestarian syair berterusan dalam kalangan generasi muda Brunei, Jabatan Pendidikan Kokurikulum melalui Unit Akli dengan kerjasama Majlis Tertinggi Melayu Islam Beraja mengorak langkah mengadakan tiga pertandingan yang berkaitan dengan syair secara serentak.

Juara menambang syair Pasukan Pusat Tingkatan Enam Meragang.
Juara menambang syair Pasukan Pusat Tingkatan Enam Meragang.

Pertandingan-pertandingan itu, ulasnya, adalah Pertandingan Menambang Syair Bagi Sekolah-sekolah Menengah, Maktab-maktab dan Pra Universiti Senegara, Pertandingan Mengarang Syair Bagi Sekolah-sekolah Menengah dan Maktab-maktab Senegara dan Pertandingan Mentafsir Syair Nasihat Bagi Pra-Universiti dan Institut Pendidikan Teknikal Brunei.

Di pertandingan peringkat akhir itu, empat buah pasukan bertanding di mana juara disandang oleh Pusat Tingkatan Enam Meragang (PTEM) yang mengumpul markah 87.9 peratus, tempat kedua Sekolah Tinggi Perempuan Raja Isteri (STPRI) dengan markah 84 peratus, tempat ketiga ialah Sekolah Menengah Lambak Kiri dengan mengumpul markah 67.1 peratus dan tempat keempat ialah Sekolah Menengah Katok dengan mengumpul 63.23 peratus.

Di majlis itu juga, pemenang pertandingan mentafsir syair menerima hadiah dengan tempat pertama ialah Dayangku Hazirah binti Pengiran Saifuzzaman dari Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah (Maktab Duli), tempat kedua ialah Dayang Siti Nur Ehsani Kamaliah binti Abdullah juga dari Maktab Duli dan tempat ketiga ialah Amal Yaseerah binti Husny dari PTEM.

Sementara itu, bagi pertandingan mengarang syair, tempat pertama dimenangi oleh Dayang Nurul Jannah Wajihah Afifah binti Armanshah dari Sekolah Menengah (SM) Berakas, tempat kedua ialah Dayangku Khairunnadirah binti Pengiran Kamaruddin dari SM Rimba II dan tempat ketiga ialah Awang Mohd Nooraffazly bin Md Nooraffdillah dari SM Berakas.

Pertandingan berkenaan bermatlamat untuk mendedahkan para pelajar pra-universiti, maktab teknik dan sekolah vokasional kepada pengetahuan dan kemahiran mentafsir syair, melahirkan pelajar yang cerdas dari segi kebolehan mental dan berupaya untuk berfikir secara aktif, kreatif dan kritis mengenai sesuatu isu yang dikemukakan dalam sesebuah syair serta menanamkan kesedaran kepada generasi muda mengenal kepentingan menghargai, memelihara, mempertahankan dan mencintai keluhuran seni budaya Melayu Brunei sebagai khazanah warisan budaya Melayu yang harus dipertahankan dan dijaga demi kelangsungan hidup seni budaya berkenaan.

ARTIKEL YANG SAMA