Letop Lebaran buka tirai

Letop Lebaran buka tirai

Oleh Imelda Groves HA

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Jun – Ekspo dan Pameran Letop Lebaran membuka tirainya hari ini di Pusat Persidangan Antarabangsa Berakas dengan mengetengahkan 80 petak jualan barang keperluan sempena Hari Raya Aidilfitri yang disertai para peniaga tempatan dan luar negara iaitu Malaysia dan Indonesia.

Pelancaran ekspo anjuran Battle Pro Event yang akan berlangsung sehingga 3 Julai itu telah disempurnakan oleh isteri Menteri Pendidikan, Datin Hajah Asmah binti Haji Abdul Rahman.

Pengasas Battle Pro Event, Haji Syed Mohd Yassin bin Haji Syed Anayatullah Shah dalam ucapannya selaku Pengerusi Jawatankuasa Ekspo Letop Lebaran 2016 menjelaskan, ekspo berkenaan bermatlamat untuk memberikan peluang kepada usahawan-usahawan luar negara untuk memasarkan jenama mereka di Negara Brunei Darussalam.

Katanya lagi, ekspo ini sekali gus memberi peluang dan platform kepada usahawan-usahawan tempatan bukan sahaja untuk menaikkan status produk dan jenama mereka malahan membantu mereka untuk lebih berkembang maju dan menaikkan semangat mereka untuk terus berniaga, lebih-lebih lagi ketika keadaan ekonomi yang tidak menentu.

“Secara tidak langsung kita akan dapat membantu menjana ekonomi negara dengan membuka lebih banyak peluang-peluang, terutamanya kepada belia-belia negara yang ingin berkecimpung dalam dunia perniagaan.”

Datin Hajah Asmah ketika merasmikan Ekspo dan Pameran Letop Lebaran sambil disaksikan oleh Haji Syed Mohd Yassin.
Datin Hajah Asmah ketika merasmikan Ekspo dan Pameran Letop Lebaran sambil disaksikan oleh Haji Syed Mohd Yassin.

Menurutnya, pihak penganjur telah menerima lebih 80 penyertaan daripada usahawan-usahawan tempatan dan juga luar negara, khususnya dari Malaysia dan Indonesia.

“Ini bermakna, lebih banyak produk-produk dapat dipasarkan, dan lebih banyak lagi pilihan buat pengunjung-pengunjung yang akan datang. Pesta jualan ini yang diadakan sempena musim perayaan yang akan tiba nanti, juga diharap dapat menjadi sebuah ‘one stop shopping centre’ bagi orang ramai, khususnya dalam membantu mereka membuat persediaan dan kelengkapan untuk Aidilfitri yang bakal menjelang,” tambah beliau.

Antara yang menyertai ekspo berkenaan termasuk BeShukur, Hayaa Musfirah, CoveredbyAnnisa, Mumtaz Collections dan Ukhuwwah Rich; dan antarabangsa seperti AidiJuma, Bokitta Hijab, OwlbyND, Marshmallow Scarf dan Kaslinda.

pg12_160701_d

Para pempamer juga sempat bergambar ramai bersama tetamu kehormat.
Para pempamer juga sempat bergambar ramai bersama tetamu kehormat.

pg12_160701_c

Di samping membeli-belah untuk persiapan Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang, para pengunjung juga berpeluang untuk memenangi hadiah utama berupa tiket umrah (untuk seorang pemenang) dengan syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh penganjur di samping beberapa hadiah lain.

Ekspo berkenaan dibuka dari pukul 10 pagi hingga 10 malam kecuali Jumaat yang bermula pukul 2 petang, namun akan ditutup pada pukul 6 hingga 7 malam bagi waktu bersungkai.

Untuk kemudahan para pengunjung, pihak penganjur juga mengadakan solat Fardu Isyak dan solat sunat Tarawih sepanjang acara itu berlangsung.

Di samping itu, para pengunjung juga bolehlah memilih untuk berbuka puasa di Bufet Sungkai Soto Pablo yang menjalankan perniagaannya sepanjang ekspo itu.

ARTIKEL YANG SAMA