Letupan berganda melanda Turki

Letupan berganda melanda Turki

ANKARA, 18 Mei – Letupan berganda hari ini melanda ibu pejabat serantau parti pro-Kurdish utama, di dua buah bandar Turki, menambah ketegangan memuncak menjelang pilihan raya perundangan 7 Jun ini.

Enam orang cedera dalam letupan di pejabat Parti Demokratik Rakyat (HDP) di bandar selatan Adana disebabkan oleh satu bungkusan yang disyaki, tiga daripada mereka cedera parah, menurut pegawai parti kepada AFP.

Sejambak bunga yang dihantar ke pejabat parti di bandar berhampiran Mersin juga meledak, menurut pegawai. Rakaman video menunjukkan beberapa orang mengalami pendarahan di wajah.

Pengerusi bersama HDP, Selahattin Demirtas dijangka akan menyampaikan ucapan semasa perhimpunan di Mersin lewat hari ini namun parti mengatakan tidak ada usul beliau akan membatalkan acara itu.

Kerajaan serta-merta mengutuk serangan itu, dengan Perdana Menteri Ahmet Davutoglu menjamin untuk membawa pelakunya kepada keadilan.

Orang ramai berdiri di tapak letupan di pejabat HDP, Mersin. – AFP
Orang ramai berdiri di tapak letupan di pejabat HDP, Mersin. – AFP

“Saya sangat mengutuk serangan ini,” Davutoglu memberitahu perhimpunan di bandar Karaman di tengah Turki.

Davutoglu mengatakan dia memberi ‘arahan jelas’ bagi siasat skala penuh. Namun dia memberi amaran ke atas sebarang percubaan memburukkan kempen untuk mencemarkan nama baik parti pemerintahnya selepas beberapa ahli politik HDP menyalahkan kerajaan atas serangan itu.

“Kami menentang keganasan sejak awal lagi. Kami akan berarak pada 7 Jun dalam keadaan aman,” ujarnya.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Omer Celik mengumumkan dalam Twitter bahawa unit khas melibatkan pasukan polis dan agensi perisikan yang ditubuhkan untuk mencari dalang serangan yang katanya telah menyasarkan “HDP, semua parti politik dan proses pilihan raya Turki.” – AFP