Letupan besar ragut 44 jiwa

Letupan besar ragut 44 jiwa

TIANJIN, China, 13 Ogos – Dua letupan besar berlaku di kawasan simpanan perindustrian kimia toksik dan gas di Tianjin, timur laut bandar pelabuhan China, mengorbankan kira-kira 44 orang, termasuk kira-kira 12 orang anggota bomba, menurut para pegawai dan media kerajaan hari ini.

Kira-kira 520 orang tercedera, lebih 60 dari mereka cedera parah, kerajaan Tianjin berkata di mikroblog Weibo, dan akhbar People’s Daily berkata empat kebakaran masih menyala.

Letupan malam semalam itu, begitu besar sehingga dapat dilihat melalui satelit di ruang angkasa lepas, mengakibatkan gelombang kejutan di blok-blok pangsapuri jauhnya di bandar pelabuhan didiami oleh 15 juta orang. Video internet memperlihatkan bola-bola api menjulang ke udara dan Cerapan Geologi Amerika Syarikat mencatatkan letupan sebagai kejadian gempa.

Kawasan luas di pelabuhan itu, ke-10 terbesar di dunia telah musnah, kontena perkapalan yang renyuk terhumban di sekitar seperti kayu mancis, ratusan kereta baru terbakar dan bangunan pelabuhan seperti menjadi cangkerang terbakar, menurut saksi-saksi Reuters.

“Saya sedang tidur apabila tingkap dan pintu kami tiba-tiba bergoncang ketika kami terdengar letupan di luar. Pada mulanya saya menyangka ia adalah gempa bumi,” Guang Xiang, yang tinggal 7 kilometer jauhnya dari tempat kejadian letupan, memberitahu Reuters melalui telefon.

Barisan kereta yang rosak dilihat di kawasan beberapa siri letupan di Tianjin pada 13 Ogos 2015. – AFP
Barisan kereta yang rosak dilihat di kawasan beberapa siri letupan di Tianjin pada 13 Ogos 2015. – AFP

Guan, 24 tahun, dia melihat api dan awan besar seperti cendawan di langit ketika dia dan penghuni-penghuni lain bergegas keluar dari bangunan.

China Central Television sebelumnya menyatakan angka kematian pada 17 orang. Namun pihak berkuasa kemudian berkata 12 anggota bomba adalah antara 44 orang yang terkorban.

Kemalangan industri adalah lumrah di China ekoran pertumbuhan ekonomi begitu pesat selama tiga dekad. Letupan di sebuah kilang alat ganti di timur China telah mengorbankan 75 orang setahun lalu apabila sebuah bilik yang penuh dengan debu logam meletup.

Beijing News, yang dijalankan oleh kerajaan sebelumnya memetik pihak berkuasa bomba Tianjin sebagai berkata bahawa mereka telah terputus hubungan dengan 36 orang anggota bomba dan 33 orang lagi adalah antara ratusan orang yang sedang dirawat di hospital-hospital berhampiran.

Agensi berita rasmi Xinhua berkata 1,000 anggota bomba dan lebih dari 140 kereta bomba telah berhempas pulas untuk meredakan kebakaran di gudang yang menyimpan “barangan berbahaya” itu.

“Ketidaktentuan barangan bermakna api tersebut tidak dapat dijangkakan dan bahaya untuk didekati,” menurut Xinhua.

Presiden Xi Jinping mahukan pihak berkuasa “membuat usaha penuh untuk menyelamat dan merawat mangsa yang cedera serta memastikan keselamatan orang awam dan harta benda mereka. – AFP