Letupan bom bayangi kemenangan Perancis

Letupan bom bayangi kemenangan Perancis

PARIS, 15 Nov (Agensi) – Dua letupan bom yang menyelubungi kota Paris membayangi kemenangan 2-0 Perancis ke atas juara dunia, Jerman dalam perlawanan persahabatan, semalam.

Letupan yang berlaku itu turut didengari dari dalam Stade de France pada separuh masa pertama dan polis memberitahu, lebih 150 orang terbunuh dalam insiden tembakan serta pengeboman yang berlaku di Paris, namun perlawanan itu tidak dihentikan.

Presiden Perancis, Francois Hollande yang ketika itu berada di dalam stadium segera dibawa keluar untuk menghadiri mesyuarat tergempar.

“Kami berada dalam keadaan takut dan terkejut. Secara peribadi, perlawanan dan sukan itu sudah hilang kepentingan. Kami semua berada dalam keadaan bingung. Kami tidak tahu apa yang perlu dilakukan,” kata jurulatih Jerman, Joachim Loew.

Pihak stadium membuat pengumuman meminta peminat kekal di tempat duduk mereka, biarpun keadaan huru hara di luar kedengaran jelas apabila bunyi siren polis menyusul selepas dua letupan berlaku.

Para penonton berkumpul di dalam Stade de France selepas perlawanan Perancis dan Jerman digegarkan letupan di luar stadium kelmarin. – AFP
Para penonton berkumpul di dalam Stade de France selepas perlawanan Perancis dan Jerman digegarkan letupan di luar stadium kelmarin. – AFP

Suasana di dalam stadium semasa perlawanan menjadi senyap secara tiba-tiba dan perasaaan takut mula menyelubungi para penyokong serta pemain kedua-dua pasukan.

Setengah jam selepas tamat perlawanan, kira-kira 2,000 penyokong berkumpul di padang, sebelum pihak stadium mengumumkan keadaan di luar stadium terkawal dan selamat untuk mereka.

Seawal pagi lagi, pasukan Jerman dibawa keluar dari hotel penginapan mereka ekoran insiden letupan bom itu. Pemain kemudian menghabiskan masa di Roland Garros, lokasi kejohanan tenis Terbuka Perancis.

Semua aktiviti media selepas perlawanan dibatalkan termasuk sesi latihan di Clairefontaine. Sesi latihan skuad Perancis di sebelah petang yang dijadualkan untuk orang ramai juga dibatalkan dan dijalankan secara tertutup.

Akhbar sukan Perancis, L’Equipe edisi petang juga menampilkan muka depan bertemakan hitam putih dengan tajuk ‘L’Horreur’ (Ngeri).

Pemain Perancis bagaimanapun tidak menyedari tentang kejadian itu sehingga tamat perlawanan.

“Persatuan Bola Sepak Perancis (FFF) berkongsi kesedihan yang dialami ahli keluarga dan mereka yang tersayang,” kata Presiden FFF, Noel Le Graet.

ARTIKEL YANG SAMA