Letupan bot ragut dua, 18 cedera

Letupan bot ragut dua, 18 cedera

DENPASAR, Indonesia, 15 Sept – Satu letupan yang berlaku pada bot pelancong selepas bertolak ke pulau peranginan Bali di Indonesia hari ini, membunuh dua wanita warga asing dan mencederakan 18 warga asing, kata polis.

Letupan dalam bot laju yang membawa kira-kira 30 penumpang kelihatan telah berlaku di dalam tangki bahan api, kata polis, sambil menambah ia bukan disebabkan oleh bom.

Indonesia mempunyai rekod keselamatan maritim yang rendah dan terdapat kejadian yang sama pada masa lalu di mana tiada unsur jenayah dikesan.

Pihak berkuasa berkata, wanita itu terbunuh di atas bot, yang menuju ke pulau percutian berhampiran di Gili Trawangan, merupakan seorang warga asing tetapi mereka telah mengesahkan identiti beliau sebelum mengeluarkan maklumat lanjut.

Sebelumnya seorang wanita maut dan 14 pelancong yang cedera telah dibawa ke pusat perubatan di pulau itu, dengan rakaman TV menunjukkan keadaan para penumpang yang berlumuran darah terbaring di atas katil hospital dan dibawa ke dalam ambulans.

Polis menjalankan siasatan ke atas sebuah bot laju berikutan insiden letupan di atas kapal di Karangasem, pulau peranginan Bali di Indonesia, kelmarin. – AFP
Polis menjalankan siasatan ke atas sebuah bot laju berikutan insiden letupan di atas kapal di Karangasem, pulau peranginan Bali di Indonesia, kelmarin. – AFP

Kenyataan oleh pihak berkuasa menunjukkan bahawa di antara penumpang adalah 17 rakyat Britain dan selebihnya adalah warga asing dari Perancis, Itali, Portugal, Ireland dan Sepanyol.

Letupan itu berlaku selepas bot yang turut membawa empat anak kapal itu meninggalkan pelabuhan Padang Bai di timur Bali pagi hari ini.

“Letupan itu berlaku lima minit selepas bot bertolak,” kata ketua polis tempatan Sugeng Sudarso kepada AFP, sambil menambah kapal berada kira-kira 200 meter (ela) dari pelabuhan.

“Seorang penumpang wanita terbunuh akibat kecederaan di kepala.” – AFP