Letupan dekat konsulat AS

Letupan dekat konsulat AS

RIYADH, 4 Julai – Seorang pengebom berani mati meletupkan dirinya berhampiran konsulat Amerika di Jeddah, bandar Laut Merah, Arab Saudi pada awal waktu hari ini, menurut kementerian dalam negeri.

Kementerian dalam negeri Saudi berkata dua pegawai mengalami kecederaan ringan, sementara kedutaan Amerika di Riyadh berkata tidak ada korban jiwa mahupun kecederaan dalam kalangan kakitangan konsulat Amerika Syarikat (AS).

Para pegawai keselamatan mencurigai seorang lelaki yang berada berhampiran tempat letak kereta Hospital Dr Suleiman Faqeeh yang terletak betul-betul di hadapan misi diplomatik AS itu.

Apabila mereka bergerak masuk untuk menyiasat ‘dia meletupkan dirinya sendiri dengan menggunakan tali pinggang bom, di dalam tempat meletak kereta hospital sekitar pukul 2:15 pagi, menurut kementerian itu, dengan menambah kata dua pegawai keselamatan yang mengalami cedera ringan.

Gambar yang disiarkan oleh surat khabar online Sabq, yang mempunyai hubungan rapat dengan pihak berkuasa, nampaknya menunjukkan bahagian besar anggota badan berada di tanah antara sebuah teksi dan pintu terbuka sebuah lagi kereta, yang penuh dengan lubang akibat serpihan bom.

Anggota polis Saudi berdiri mengawal di tapak tempat pengebom berani mati meletupkan dirinya pada awal pagi 4 Julai berhampiran konsulat Amerika di bandar Jeddah, Laut Merah. - AFP
Anggota polis Saudi berdiri mengawal di tapak tempat pengebom berani mati meletupkan dirinya pada awal pagi 4 Julai berhampiran konsulat Amerika di bandar Jeddah, Laut Merah. – AFP

Letupan berlaku sejurus sebelum solat subuh selepas orang Islam memulakan puasa Ramadan mereka. Saluran berita kerajaan Saudi Al-Ekhbaria melaporkan sebuah masjid terletak berhampiran.

Kejadian ini berlaku pada 4 Julai, iaitu pada hari cuti Hari Kemerdekaan Amerika. Para penyiasat berusaha mengenal pasti penjenayah, tambah kementerian dalam negeri itu lagi.

Di Washington, seorang jurucakap jabatan negara, yang enggan mendedahkan namanya berkata, “Kami mengetahui tentang laporan letupan di Jeddah dan bekerjasama dengan pihak berkuasa Saudi untuk mengumpul lebih banyak maklumat.

“Kami boleh mengesahkan bahawa semua kakitangan di bawah kuasa ketua misi dapat dikesan pada ketika ini.

Tidak ada maklumat lain tentang siapa yang bertanggungjawab, tetapi sejak lewat 2014, pegawai-pegawai keselamatan Arab Saudi dan minoriti Syiah telah dicengkam keganasan maut yang mana kumpulan Islam IS mengaku bertanggung jawab. – AFP