Letupan di Jakarta: Malaysia sedia bantu Indonesia

Letupan di Jakarta: Malaysia sedia bantu Indonesia

KUALA LUMPUR, 14 Jan (Bernama/Agensi) – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Malaysia akan menawarkan bantuan kepada Indonesia dalam apa jua cara susulan beberapa serangan bom yang menggegarkan Jakarta hari ini.

Dalam tweet terkini beliau, perdana menteri nyatakan rasa terkejut dan amat sedih dengan serangan itu.

“Malaysia sentiasa sedia membantu dalam apa juga cara. Ingatan dan doa kepada rakyat Indonesia,” kata Najib.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi juga mengatakan perbuatan keji itu harus dikutuk oleh masyarakat antarabangsa.

“Malaysia, sebagai jiran Indonesia, ingin menzahirkan rasa simpati dan ucapan takziah kepada keluarga mereka yang terkorban dan cedera dalam serangan bom hari ini di Jakarta,” katanya dalam kenyataan di sini.

Menurut laporan setakat ini, sekurang-kurangnya tujuh orang, lima daripadanya penjenayah terbabit dan dua orang awam terbunuh.

Manakala berbelas lagi cedera dalam siri letupan di kawasan berhampiran sebuah pusat beli-belah di sini, hari ini.

Ketua Bahagian Hubungan Manusia Polis Republik Indonesia Anton Charliyan berkata beberapa lelaki bersenjata, yang turut membawa bom tangan, melancarkan serangan berhampiran Restoran Starbucks di Sarinah Mall di Jalan MH Thamrin, Jakarta, pada 10.50 pagi ini.

ARTIKEL YANG SAMA