Letupan gas bocor, seorang cedera

Letupan gas bocor, seorang cedera

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

SERIA, 19 Julai – Seorang wanita warga emas melecur di beberapa bahagian badannya apabila terkena letupan akibat gas bocor dalam kejadian yang berlaku di kediamannya di Kampung Sungai Bakong Lumut, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4 pagi tadi, Dayang Sapiah binti Haji Hussin, 61, dikatakan hendak memanaskan air untuk membuat minuman apabila letupan berlaku dipercayai akibat saluran paip gas bocor.

Mangsa melecur di bahagian muka, kedua belah tangan dan kaki serta sakit di bahagian kaki akibat terpelanting semasa kejadian.

Suami mangsa, Awang Alwi bin Haji Abd Hamid, yang dihubungi melalui telefon memberitahu, semasa kejadian dia sedang tidur di tingkat atas rumah mereka dan terbangun setelah terdengar isteri berteriak meminta tolong, dia bergegas menuju ke kawasan dapur di bahagian bawah rumah mereka dan terlihat isterinya dalam keadaan cedera.

“Saya tidak berdaya untuk mengangkat isteri saya, kerana tidak dapat memijak lantai yang penuh dengan serpihan kaca akibat cermin jendela pecah, dan terpaksa menenangkan isteri saya supaya duduk dan anak kami terus menghubungi ambulans,” kata Awang Alwi, yang turut memberitahu semasa kejadian mereka tidak tercium bau gas.

Pecahan jendela akibat kejadian gas bocor, selain turut menanggalkan pintu sliding daripada dapur menuju ke ruang tamu dan pintu di bahagian ruang tamu.
Pecahan jendela akibat kejadian gas bocor, selain turut menanggalkan pintu sliding daripada dapur menuju ke ruang tamu dan pintu di bahagian ruang tamu.

Menurut beliau lagi, semasa isterinya hendak memasang tambak dapur untuk memasak air, letupan terus berlaku, selain memberitahu tong gas mereka diletakkan di luar dan hos disambung melalui lubang dinding.

Beliau juga memberitahu, isterinya pada masa ini dalam keadaan stabil, cuma belum boleh bergerak untuk bangun ekoran kecederaannya, dan menurutnya melalui pemeriksaan doktor, kaki isterinya patah kerana terpelanting semasa kejadian.

Sementara itu, salah seorang anak lelaki mangsa, semasa di temui di kediaman mereka, pula menyatakan, dia juga sedang tidur di tingkat atas rumah mereka semasa kejadian, dan terbangun apabila terdengar bunyi letupan, kemudian mendapati ibunya terduduk dalam keadaan berlumuran darah yang turut mengalir sehingga ke pintu.

Menurutnya lagi, kakaknya segera menghubungi ambulans Klinik Sungai Liang, yang kemudiannya tiba di rumah mereka dan memberikan rawatan awal kepada ibunya sebelum dikejarkan ke rumah sakit.

Beliau juga memberitahu, ibunya memang lazimnya bangun awal pagi untuk memasak air bagi menyediakan minum pagi buat mereka sekeluarga.

Sementara itu, Balai Bomba Sungai Liang mengesahkan bahawa mereka telah menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian berkenaan kira-kira pukul 4:50 pagi, dan telah mengejarkan lima orang anggota berserta sebuah jentera bomba, dengan diketuai oleh Pemangku Timbalan Pegawai Balai, Awang Azlan bin Osman.

Menurut bomba, semasa tiba di tempat kejadian kira-kira pukul 5:21 pagi, ambulans sudah berada di sana dan mangsa telah diberikan rawatan awal, sebelum dikejarkan ke hospital.

Mereka turut mendapati tiada api di tempat kejadian, namun rumah berkenaan mengalami kerosakan seperti cermin jendela pecah, pintu sliding, dan pintu depan rumah tertanggal.

Siasatan awal pihak bomba dan penyelamat mendapati saluran paip gas bocor di bahagian luar, bagaimanapun punca sebenar kejadian dan kerugian yang dialami masih dalam siasatan.

Sehubungan itu, pihak bomba turut menasihatkan orang ramai supaya akan sentiasa menutup kepala tong gas, jika sudah tidak digunakan lagi, dan sentiasa meletakkan tong gas dalam jarak keselamatan kira-kira 1.5 meter daripada sebarang punca api atau bahan elektrik, serta menyimpan tong gas di tempat pengedaran udara yang terbuka, dan disimpan dalam keadaan selamat.