Letupan gas r...

Letupan gas ragut 1 jiwa, cederakan 7

BRUSSELS, 19 Mac – Seorang lelaki terbunuh manakala tujuh cedera termasuk tiga daripadanya parah dalam insiden letupan di sebuah rumah kelmarin di Brussels, dipercayai akibat kebocoran gas, kata pegawai.

“Petang ini, dua rumah penduduk meletup dan kemudian disusuli kebakaran,” menurut kenyataan pendakwa raya awam Brussels.

“Seramai tujuh mangsa dikejarkan ke hospital. Menurut mereka, tiga daripadanya cedera parah termasuk seorang budak kecil berusia dua tahun dan remaja berusia 15 tahun. Pada malamnya, mayat seorang lelaki ditemui dalam runtuhan,” katanya sambil menambah mayat itu belum dikenal pasti.

Bercakap kepada televisyen Belgium dan rangkaian RTL dan RTBF, Datuk Bandar Charles Picque berkata letupan itu berkemungkinan disebabkan kebocoran gas.

Belgium masih mengambil langkah berjaga-jaga sejak 22 Mac tahun lalu, susulan serangan tiga pengebom nekad di lapangan terbang Brussels dan sebuah stesen kereta api bawah tanah berhampiran ibu pejabat Kesatuan Eropah yang mengorbankan 32 orang serta mencederakan beratus-ratus yang lain. – AFP

Anggota bomba Belgium sedang memadamkan api di sebuah rumah yang musnah akibat letupan yang disusuli dengan kebakaran di sepanjang Chaussee de Waterloo (Waterloosteenweg) dan kejiranan Barriere (Bareel) di Saint-Gilles, Brussels pada 19 Mac. – AFP