Letupan gegar dewan Venezuela

Letupan gegar dewan Venezuela

CARACAS, 27 Jan – Empat letupan yang kedengaran dekat dewan perundangan Venezuela mencetuskan suasana panik tetapi tidak menyebabkan kecederaan atau kerosakan.

Peranti letupan buatan sendiri itu penuh dengan risalah yang berterbangan ke udara dengan propaganda kononnya ditulis kumpulan radikal yang setia kepada presiden berhaluan kiri, mendiang Hugo Chavez.

Parti Chavez baru-baru ini tewas kepada pembangkang. Risalah yang ditandatangani kumpulan dikenali sebagai Angkatan Pembebasan Bolivarian (FBL) itu mengkritik kerajaan pengganti Chavez, Nicolas Maduro, dan menggesa tindak balas lebih radikal selepas kekalahan parti sosialis pada pilihan raya Disember lalu.

“Sudah tiba masanya untuk pimpinan revolusi mengambil alih kerajaan. Konflik sosial lebih menjamin kesinambungan proses perubahan seperti yang dilancarkan Komandan Chavez,” kata mesej itu.

Tiga daripada peranti itu diletupkan di luar sebuah pusat beli-belah dan yang keempat dekat jalan berhampiran pejabat pentadbiran badan perundangan. – AFP

Anggota Perkhidmatan Perisikan Bolivaria berjalan bersama anjing pemantau di luar Dewan Negara di Caracas. – AFP
Anggota Perkhidmatan Perisikan Bolivaria berjalan bersama anjing pemantau di luar Dewan Negara di Caracas. – AFP