Letupan gegar New York, 29 cedera

Letupan gegar New York, 29 cedera

NEW YORK, 18 Sept – Letupan yang disengajakan menggegarkan salah sebuah kawasan popular di New York malam semalam, mencederakan 29 orang, seorang cedera parah, seminggu selepas bandar kewangan Amerika itu memperingati ulang tahun ke-15 serangan 11 September.

Letupan berlaku di Chelsea sekitar jam 8:30 malam di West 23rd Street antara Sixth and Seventh Avenues pada waktu sibuk di hujung minggu, kawasan yang penuh dengan bar, restoran dan blok pangsapuri mewah.

Datuk Bandar Bill de Blasio berkata kaitan dengan keganasan belum dapat diketahui setakat ini, sungguhpun polis telah menyiasat 27th Street bagi peranti kedua yang dilaporkan, dengan berusaha meyakinkan semula 8.4 juta penduduk di bandar itu.

Letupan berlaku dua hari sebelum para pemimpin dunia berhimpun di New York bagi Perhimpunan Agung PBB yang diketuai oleh Presiden Barack Obama, di mana beberapa kawasan di Manhattan terhenti di bawah langkah keselamatan yang ketat.

“Tidak ada bukti pada masa ini tentang kaitan keganasan terhadap kejadian ini, ini adalah maklumat awal,” de Blasio memberitahu sidang media lewat malam semalam. “Tidak ada ancaman khusus ke atas New York City pada tahap masa ini, dari ancaman mana-mana pertubuhan ganas,” tambahnya lagi.

Anggota polis dan bomba berada di tempat kejadian letupan di kawasan kejiranan Chelsea, Manhattan, New York, kelmarin. – AP
Anggota polis dan bomba berada di tempat kejadian letupan di kawasan kejiranan Chelsea, Manhattan, New York, kelmarin. – AP

Para pemberita AFP menyaksikan kehadiran anggota polis yang ramai di tempat kejadian, disertai oleh FBI dan skuad-skuad cegah keganasan, ketika helikopter polis mengelilingi ruang udara dan bunyi siren kuat kedengaran. Obama telah ‘dimaklumkan’ tentang letupan itu dan akan menerima pengemaskinian tentang situasi itu, menurut seorang pegawai Rumah Putih.

Dari 29 orang yang tercedera, 24 orang telah dikejarkan ke hospital dengan pelbagai tahap kecederaan akibat daripada kaca dan logam, menurut pesuruhjaya Jabatan Bomba Daniel Nigro.

Para saksi yang tinggal tiga blok jauhnya memberitahu AFP, mereka terdengar bunyi kuat dari pangsapuri tingkat lima mereka, diikuti dengan bunyi senyap, kemudian bunyi siren. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA